utama

Dendam final

Oleh Syazwan Msar

KUALA LUMPUR: Hanya doa daripada rakyat Malaysia diharapkan oleh skuad muda negara bagi melepasi halangan terakhir menentang Australia pada final Kejuaraan B-18 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) di Ho Chi Minh, malam ini.

Anak buah Brad Maloney sedar penyokong bola sepak tempatan menaruh harapan tinggi terhadap mereka untuk menundukkan Australia yang sememangnya mempunyai perancangan ‘sulit’ bagi menafikan peluang skuad negara mempertahankan kejuaraan.

Namun, mereka juga mengharapkan sokongan dari jauh oleh rakyat Malaysia menerusi doa supaya segala perancangan dipermudahkan untuk menundukkan Australia yang dilihat mahu membalas dendam atas kekalahan 0-3 pada peringkat kumpulan sebelum ini.

Penjaga gol skuad B-18, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman berkata, ketika ini pemain berada pada prestasi terbaik untuk mengharungi halangan terakhir.

Izhan yang juga pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) turut mengharapkan penyokong bola sepak mendoakan supaya pasukan negara bermain dengan baik dan kurang melakukan kesilapan mudah pada perlawanan hari ini.

“Kebanyakan pemain tampil dengan lebih yakin walaupun beberapa kesilapan dilakukan ketika menentang Indonesia, namun perkara itu dapat diatasi.

“Saya harap pada final kami akan buat yang terbaik untuk membawa pulang piala dan sudah tentu tidak kisah siapa diturunkan dalam kesebelasan utama,” katanya.

Sementara itu, Umar Hakeem Suhar Redzuan berkata, mereka akan memberikan tentangan lebih sengit kepada Australia dengan tampil lebih bersemangat dan berkeyakinan.

“Sememangnya kami layak menang ketika menentang Indonesia selepas tewas kepada Thailand, sekali gus mendorong pemain untuk kurangkan kesilapan.

“Bermain demi lencana di dada, perkara itu sering ditekankan dalam pasukan, sekali gus menyebabkan kami bermain dengan lebih bersemangat untuk menjulang piala sekali lagi,” katanya.

Disiarkan pada: August 19, 2019 @ 5:20am
d