utama

Biar perlahan asal bertahan

Oleh Ardini Sophia Sina

MUDAH menjadi penyanyi tetapi bukan senang untuk berjaya dan kekal relevan dalam industri muzik. Cabaran ini dirasai penyanyi muda, Sarah Suhairi yang kini masih dalam proses menyusun strategi me­ngukuhkan namanya.

Bagaimanapun, gadis berusia 19 tahun ini sentiasa positif dan percaya pada rezeki.

Katanya, dia menikmati perjalanan seni yang sedang dilaluinya dan setiap liku kepayahan itu adalah proses untuk matang.

“Setiap bulan pasti ada saja penyanyi baharu yang muncul dengan single baharu. Jadi, penyanyi macam saya memang mudah ketinggalan dan duduk di belakang mereka.

“Tapi, saya percaya pada rezeki. Saya yakin, kalau kita berusaha keras pasti ada ganjaran yang menanti. Saya sendiri perlu bijak menyusun strategi agar mampu bertahan lama sebagai penyanyi,” katanya.

Mempunyai impian untuk tampil dengan sebuah album, namun masih angan-angan itu masih disimpan buat sementara waktu dan mahu fokus pada penghasilan single buat masa ini.

Muncul sebagai juara Big Stage musim pertama, dia sedar namanya sedikit menurun jika dibandingkan beberapa minggu selepas memenangi pertandingan berkenaan.

“Ada yang buat persepsi, kalau juara mesti kerjaya selepas itu ‘sendu’ tetapi itu hanyalah sekadar tanggapan. Perjalanan seni saya setakat ini berjalan lancar dan semuanya baik-baik saja.

“Saya tidak terlalu ‘sendu’ tetapi tidak juga terlalu menonjol. Walaupun agak perlahan, masih bergerak. Saya lebih memilih untuk bergerak perlahan asalkan boleh bertahan lama dalam industri muzik.

“Apa yang saya buat sekarang adalah dengan melihat dan belajar daripada pengalaman orang lain. Malahan, label juga sebenarnya membantu saya untuk terus bertahan,” katanya.

Turut meminati bidang lakonan dan pengacaraan, Sarah berasakan usianya yang masih muda perlu digunakan untuk cuba menceburi pelbagai cabang seni lain.

Namun, semua itu ada masanya. Dia memilih untuk fokus pada nya­nyian dan hanya mengambil tawaran lain apabila berasakan tiba masa sesuai.

Amat meminati Dayang Nurfaizah, gadis ini berharap mampu meraih kejayaan sama seperti penyanyi kelahiran Sarawak itu.

“Saya memang kagum dengan Dayang. Sudah dua dekad dalam industri muzik namun masih kekal relevan. Dia sangat rendah diri dan menghormati orang lain. Mungkin itu juga kunci kejayaannya.

“Saya ada menonton konsertnya. Memang menakjubkan apabila dia mampu menyanyi 26 lagu. Kalau saya, tiga lagu saja pun sudah agak letih. Saya hilang kata-kata untuk menggambarkan kehebatan Dayang ketika berada di atas pentas,” kata­nya.

Disiarkan pada: August 19, 2019 @ 5:30am
d