utama

Sebulan bayar RM405.35

Oleh Amir Abd Hamid

KUALA LUMPUR: “Saya perlu lunaskan baki pampasan secara ansuran dalam tempoh dua tahun kepada keluarga mangsa dan bayaran pertama bermula September depan.

“Baki pampasan perlu dilunaskan adalah 100,000 baht (RM13,511). Syukur saya dibenarkan bayar pampasan ini secara ansuran iaitu sekurang-kurangnya 3,000 baht (RM405.35) sebulan,” kata Abd Wahab Yahaya, 56.

Dalam kejadian jam 10 malam, 19 Disember tahun lalu, Abd Wahab dan isteri, Junaidah Muhammad Said, 45, bertembung dengan pejalan kaki ketika dia menunggang motosikal di Jalan Aonang, dekat Krabi, Thailand dan kemalangan itu menyebabkan lelaki tempatan berkenaan maut.

Abd Wahab yang dihubungi Harian Metro, semalam berkata, jumlah pampasan boleh dibayar secara bulanan sehingga September 2021 itu adalah bersesuaian dengan kemampuannya yang bersara.

“Sebenarnya pampasan perlu saya bayar ini sudah banyak dikurangkan berbanding tuntutan asal keluarga warga Thailand yang meninggal dunia dalam kemalangan itu.

“Jumlah asal mereka minta RM550,000. Selepas perbincangan dengan peguam dijalankan, jumlah itu dikurangkan kepada RM200,000.

“Akhirnya mahkamah di Krabi pada 19 Mac lalu memutuskan saya hanya perlu membayar RM95,000 sebagai pampasan kepada waris mangsa,” katanya yang sudah membayar pampasan sebanyak RM81,489 secara sekali gus sebelum ini.

Mengulas perkembangan terkini dirinya, Abd Wahab berkata, pada masa ini dia sering dijemput pihak yang mahu mempelajari pengalamannya berdepan kemalangan di luar negara.

Terbaharu, katanya, dia dijemput memberi ceramah untuk kumpulan penunggang motosikal yang akan diadakan di Melaka, Sabtu ini, bagi berkongsi kisahnya.

“Saya bersyukur masih hidup sebab kemalangan turut menyebabkan saya mengalami patah tulang rahang, pipi kanan dan hidung selain pendarahan pada mata.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada rakyat Malaysia dan Thailand yang tidak putus-putus mendoakan saya dan isteri serta turut memberikan sumbangan bagi mengurangkan beban kami.

“Jasa pemilik Restoran Madina Halalfood Aonang, Krabi, Haji Ismail yang sanggup mencagarkan tanah dan rumah untuk menjamin saya ketika kes berjalan juga tidak akan saya lupakan sepanjang hayat,” katanya.

Beliau berkata, antara pengajaran berguna terhadapnya dalam kes itu ialah perlu memastikan ambil insurans perjalanan apabila keluar negara.

Disiarkan pada: August 19, 2019 @ 5:31am
d