utama

'Serah semula seorang anak, dapat lagi lapan'

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

SELEPAS seminggu bertarung nyawa kerana serangan jantung, Abdul Rahman Mohamed, 60, bapa kandung kepada Ahmad Farhan, menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, 10 malam Sabtu lalu.

Berita itu dimaklumkan Zohaidah Sidin, 56, ibu angkat kepada Ahmad Farhan, yang dibela sejak 25 tahun lalu dan kisahnya dilaporkan di Harian Metro pada 12 Ogos lalu.

Zohaida berkata, dia mendapat panggilan telefon daripada anak arwah pada 10.30 malam dan memaklumkan mengenai berita sedih itu.

“Anak arwah menghubungi saya menyampaikan berita sedih itu, manakala Farhan pula masih berada di Singapura dan tidak dibenarkan keluar.

“Apabila saya memberitahu Farhan, dia hanya mendiamkan diri tapi saya dapat merasai kesedihannya. Dia cakap ‘Boleh tak Mama wakilkan adik untuk jumpa keluarga?,” kata Zohaidah.

Menurut Zohaidah, sebelum mendapat berita sedih itu, kebetulan dia berada di Johor Bahru kerana melawat anak angkat suaminya yang terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Bagaimanapun, gerak hatinya menyatakan dia akan ke Kuantan dalam tempoh sehari dua.

“Oleh itu, saya sudah bersedia bawa baju lebih. Malah pada Jumaat lalu, saya beritahu Farhan bahawa saya berat hati mahu Farhan melawat bapa kandungnya di Kuantan, malah bersedia untuk membeli tiket penerbangan dari Singapura ke Kuantan.

“Namun, Farhan tidak mendapat pelepasan dan hanya meminta saya menjadi wakil untuk bertemu keluarga kandungnya,” kata Zohaidah.

Zohaidah berkata, berdasarkan perancangan awal arwah dikebumikan pada sekitar 8 pagi Ahad lalu.

Bagaimanapun, katanya, ketika dia bersiap untuk bertolak dari Johor Bahru ke Kuantan, anak arwah menghubungi dengan memberitahu arwah sudah selamat dikebumikan pada 3 pagi.

“Jenazah Abdul Rahman selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam berhampiran kediaman keluarga di Panching, Kuantan.

“Anak arwah sangat baik dan menerima saya sebagai ibu mereka selain mengucapkan jutaan terima kasih kerana membesarkan Farhan menjadi lelaki sangat sempurna.

“Malah sejak pertemuan pertama Farhan dengan saudara kandungnya pada 13 Ogos lalu, mereka sentiasa berhubung bertanya khabar selain memberitahu perkembangan arwah.

“Saudara kandung Farhan sangat bagus dan sering mesej dengan kata-kata positif. Walaupun tarikh keramat itu sentuhan pertama dan terakhir Farhan kepada bapa kandungnya, saya lega sebab dia dapat sentuh dan kenal bapanya,” katanya.

Menurutnya, adik beradik kandung Farhan turut menerimanya sebagai sebahagian daripada keluarga mereka.

“Saat saya serahkan kembali seorang anak, Allah SWT kurniakan lapan anak yang menerima saya sebagai ibu mereka,” kata Zohaidah yang terharu dengan reaksi diterima daripada adik beradik kandung Farhan.

Berita berkaitan

'Mungkin ada hikmahnya'

'Rahsia 25 tahun terlerai'

Disiarkan pada: August 19, 2019 @ 9:00pm
d