utama

'Tak nak main, duduk rumah'

Oleh Syazwan Msar

SHAH ALAM: Duduk saja di rumah jika tidak boleh memberikan komitmen 100 peratus.

Itu amaran pengendali Selangor, B Sathianathan kepada anak buahnya yang dilihat bermain sambil lewa hingga pasukannya terlepas peluang memungut tiga mata penting ketika bertemu PDRM pada aksi Piala Malaysia malam kelmarin.

Sathia berkata, beliau sudah mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga pemain Selangor yang sering melakukan kesalahan sama hingga membuka ruang kepada pasukan lawan menyumbat gol.

Beliau berkata, pemain itu mungkin akan direhatkan bagi sekurang-kurangnya tiga perlawanan akan datang untuk memastikan mereka ‘sedar diri’ dan kembali bermain seperti yang diharapkan.

“Saya lihat pemain yang sama buat kesalahan dan jika mereka tidak mahu bermain boleh duduk di rumah malah jika tidak cukup pemain pun kemungkinan akan memanggil skuad Piala Presiden.

“Perlawanan tadi (malam kelmarin) melihatkan banyak kelemahan membabitkan aspek hantaran selain gagal menyekat kemaraan lawan walaupun sudah diberikan arahan kepada mereka pada perjumpaan sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, sebagai jurulatih beliau sudah melalui situasi sama ketika mengendali beberapa pasukan lain sebelum ini.

“Saya sudah beri banyak peluang sebelum ini jika tidak boleh beri komitmen 100 peratus lebih baik tinggal dan bawa pemain Piala Presiden.

“Walaupun terpaksa mengambil risiko namun perkara itu perlu dilakukan kerana kejayaan pasukan bukannya terletak kepada individu walaupun dia seorang pemain bintang,” katanya.

Sementara itu, pengendali PDRM E Elavarasan berkata, walaupun pasukan bermain tanpa sokongan penyokong, namun berpuas hati anak buahnya menunjukkan semangat juang tinggi ketika berdepan Selangor.

“Saya puas hati dengan persembahan pemain walaupun tiada sokongan daripada penyokong namun mereka berjaya mengekang asakan lawan sekali gus membawa pulang satu mata,” katanya.

Disiarkan pada: August 20, 2019 @ 5:30am
d