utama

Kenangan manis bersama Mia

Oleh Ardini Sophia Sina

PELUANG Datuk Afdlin Shauki bekerjasama dengan anak sulungnya, Mia Sara menerusi siri Disney berjudul Wizards of Warna Walk adalah satu kebanggaan buat dirinya.

Katanya, andai sebelum ini dia kurang masa menjalani aktiviti bersama anak-anaknya, namun penggambaran yang dijalankan seolah-olah memperbaharui hubungan bapa dan anak.

“Dulu dia tahu saya tidak ada sebab kerja siang dan malam. Namun, apabila dia menyertai bidang lakonan, sekarang dia tahu bagaimana kerja keras dan komitmen yang harus seorang pelakon itu berikan.

“Berlakon bersama Mia adalah kenangan manis buat saya. Selepas ini, saya dengan bangga boleh katakan kami sama-sama berlakon dalam drama berkenaan.

“Saya tidak ada banyak masa dengan anak-anak. Tetapi, apabila menjalani penggambaran bersama, setiap hari kami berjumpa dan dapat luangkan masa. Barulah rasa rapat kembali,” katanya.

Bapa kepada tiga orang anak ini juga mengakui tidak pernah menggalakkan anak-anaknya menceburi dunia seni. Sebagai orang lama, dia sudah faham asam garam dunia seni.

Bagaimanapun, kata Afdlin, anak sulungnya itu terpaut hati dengan lakonan manakala anak keduanya pula meminati bidang muzik. Anak bongsu pengarah itu turut menunjukkan kecenderungan dalam bidang seni.

“Saya sebenarnya suruh anak-anak jadi jurutera, doktor atau ahli perniagaan tapi nak buat macam mana, semua cenderung ke bidang seni. Tapi, kenalah jadi artis yang berilmu. Kena sambung belajar.

“Bukan tidak setuju anak-anak ceburi bidang seni tapi sebab saya sudah rasa jatuh bangun. Kalau jatuh, memang terduduk terus. Sebab itulah saya kena buat sesuatu untuk kesenangan anak-anak.

“Apabila saya dengar Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) akan membuat caruman KWSP (Kumpulan Simpanan Wang Pekerja) dan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial), saya lega kerana itu adalah perkembangan positif yang dapat menjaga nasib pelakon," katanya.

KESEMPATAN PALING BERMAKNA

Sementara itu, bagi Mia pula, dia banyak meminta nasihat dan tunjuk ajar daripada bapanya mengenai selok-belok dunia seni.

“Setiap kali dapat skrip, saya akan rujuk kepada ibu terlebih dulu. Tapi, selalunya selepas ibu baca dia suruh saya minta pandangan daripada ayah juga sama ada terima tawaran berkenaan atau sebaliknya.

“Ada juga yang dia nasihat supaya tidak mengambil watak yang mempunyai babak terlalu berani kerana katanya saya masih muda dan masih jauh perjalanan dalam industri,” katanya.

Mia turut meluahkan rasa gembira kerana dapat berlakon bersama bapanya. Baginya, itu adalah kesempatan paling bermakna serta pengalaman manis.

Bercerita mengenai pembabitannya dalam siri Wizards of Warna Walk, Mia yang memegang watak sebagai Alissa itu berkat, ia adalah projek besar pertamanya sebagai pelakon.

“Saya memang mengikuti kelas lakonan dan biasa dengan teater. Tetapi, kalau siri televisyen acting tidak boleh terlalu besar. Nanti nampak keterlaluan pula. Itu apa yang ayah nasihatkan.

“Sebenarnya, saya terlepas uji bakat tetapi saya berpeluang mengikuti uji bakat yang dijalankan atas talian dan akhirnya berjaya membawakan watak Alissa,” katanya.

Selain itu, Mia turut menerima tawaran memegang watak utama sebuah telefilem berjudul Raksasa terbitan syarikat produksi dari Singapura.

Disiarkan pada: August 20, 2019 @ 5:30am
d