utama

Zakir Naik dilarang berceramah

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan arahan kepada semua kontinjen negeri melarang penceramah terkenal Dr Zakir Naik menyampaikan ceramah awam di seluruh negara.

Dalam notis edaran dalaman secara rahsia pasukan itu, arahan dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor.

Perkara itu disahkan Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad dan menyatakan tindakan berkenaan diambil demi keselamatan negara.

“Arahan itu dikeluarkan kepada kesemua kontinjen polis di seluruh negara dan dilakukan demi keselamatan negara dan memelihara keharmonian kaum,” katanya.

Terdahulu, tujuh negeri telah melarang ceramah oleh pendakwah tersebut, antaranya Melaka, Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Sarawak.

Sebelum ini, Zakir Naik selesai memberi keterangan kali kedua kepada polis selepas hampir 10 jam menjalani proses itu di Bukit Aman, awal pagi tadi.

Beliau dipanggil ke Bukit Aman berhubung ceramahnya yang didakwa berbaur perkauman di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.

Jumaat lalu, Zakir memberi keterangan kali pertama kira-kira lima jam di Bukit Aman untuk membantu siasatan berhubung perkara itu.

Zakir dalam ceramahnya di Kota Bharu, pada 3 Ogos lalu dilaporkan membuat kenyataan kontroversi mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia.

Disiarkan pada: August 20, 2019 @ 10:55am
d