utama

Proton Saga 1,000 kerongsang

Oleh Nor Farhani Che Ad

Sungai Petani: Warga emas ini pernah dianggap gila oleh ahli keluarga kerana hobinya yang gemar menghias Proton Saga warna merah miliknya menggunakan ribuan butang dan kerongsang.

Perasaan kurang senang ahli keluarga sedikit pun tidak menghalang Chuu Ah Baa, 73, dari Taman Sri Putra di sini, meneruskan minatnya itu.

Katanya, hobi itu bermula pada 2016 selepas seorang rakan menghadiahkan beberapa butang dibeli di Australia kepadanya.

“Saya tak tahu apa hendak dibuat dengan butang itu, jadi saya tampal pada bahagian depan kereta. Selepas diteliti semula ia nampak menarik jadi saya cari butang dan kerongsang lain untuk menghias kereta.

“Penduduk sekitar daerah ini tahu minat saya. Berikutan itu ada dalam kalangan mereka menghadiahkan butang atau kerongsang setiap kali kami berjumpa,” katanya.

Chuu berkata, dia juga menggunakan butang dan kerongsang yang dikumpul untuk menghias kasut, baju dan seluar miliknya.

Dia tidak malu tampil di khalayak dengan identiti seperti itu sebaliknya berasa bangga malah kerap diajak untuk bergambar bersama oleh orang ramai.

“Bukan saja gembira dengan hobi ini, malah sekarang saya ada ramai kawan membabitkan pelbagai kaum dan latar belakang.

“Memang benar ada yang pandang sinis terhadap saya tetapi biarkanlah mereka, bagi saya setiap orang ada hobi masing-masing,” katanya.

Dia turut menghiasi Proton Saga miliknya menggunakan aksesori wanita seperti rantai leher dan rantai tangan.

Disiarkan pada: August 21, 2019 @ 5:50am
d