utama

Bagusnya...

Oleh Alias Abd Rani

SAMPAH sebanyak dua tong berjaya dikumpul hanya dalam masa 45 minit.

Begitulah pengalaman dilalui dua beranak, Zulkhairi Man, 42, dan anak perempuannya, Amani Izara, 6, ketika melakukan kerja amal mengutip sampah di sekitar taman perumahan dan permainan di Bandar Puncak Alam.

Dua beranak itu tidak mengharapkan bayaran atau pujian, sebaliknya mereka bergerak secara sukarela jika ada kelapangan berikutan banyak sampah dibuang merata-rata di kawasan terbabit.

Kebanyakan sampah dikutip membabitkan plastik minuman dipercayai dibuang individu tidak bertanggungjawab hingga mencemarkan pemandangan orang luar yang bertandang ke kawasan terbabit.

Atas sebab itulah Zulkhairi bersama anak perempuannya keluar sambil membawa tong untuk mengutip sampah, sekali gus mengindahkan kembali kawasan terbabit.

“Biasanya saya kutip sampah berseorangan, tapi saya dan isteri selalu berpesan kepada anak jadi mereka berminat.

“Banyak kali Amani mengajak saya (kutip sampah) tapi saya tidak kelapangan hingga baru-baru ini kami keluar bersama.

“Mungkin anak saya ini selalu ingat apa yang kami janjikan, jadi hari itu juga dia ajak. Kami akan bergerak dari mula masuk ke taman perumahan dengan jaraknya lebih kurang 200 meter,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Gelagat dua beranak terbabit kemudian dimuat naik dalam Facebook hingga tular. Pada masa sama, ramai kenalan serta netizen memuji perbuatan dua beranak terbabit.

Statusnya: “Elok dah prepare nak main masak2, balik anak dara ni ajak kutip sampah.

Rajin pulak dia. Dah lama dok ajak diaorg kutip tapi lepas esok esok, sekali hari ni elok jer dia pergi recce kawasan nak masuk taman balik jer terus kacau ajak pergi settlekan. Nasib badan la.

Sampah ni tak akan datang sendiri dekat2 tepi jalan tu melainkan kita yang kurang kesedaran main campak situ.

Kan bagus jika masyarakat takot sampah2 bersepah sana sini seperti mana mereka takot hal Dadah yang tular dan tersebar dalam surat khabar 2 3 hari ini.”

Zulkhairi berkata, sebelum ini dia sekeluarga menetap di Pandan Indah dan berpindah ke Bandar Puncak Alam pada 2014.

“Masa di Pandan Indah kawasannya agak bersih. Cuma bila pindah sini suasana kesedaran orang ramai masih kurang. Bayangkan, kalau kutip sampah, empat atau lima hari sampah ada semula.

“Tahun lalu pernah diadakan gotong-royong di sini, banyak sampah berjaya dikumpul dari longkang rumah penduduk. Pada hujung 2014, ada kawasan buangan sampah pukal, tapi kami usahakan sampai tiada lagi pembuangan di situ,” katanya.

Disiarkan pada: August 22, 2019 @ 10:11pm
d