utama

Enam kubu jadi bukti

Oleh Noorazura Abdul Rahman

DIDIRIKAN di atas bukit serta berhampiran sungai, tidak semua tahu fungsi Balai Polis Jeniang yang pernah menjadi kubu anggota polis untuk mempertahankan diri jika diserang komunis.

Ia dibina pada 1948 oleh British namun struktur balai berkenaan masih kukuh. Malah, enam kubu yang dibina di lereng bukit serta di atas bumbung balai masih berfungsi sehingga kini.

Ketua Balai Polis Jeniang, Sarjan Major (SM) Ramlee Saat berkata, beliau sangat berbangga dapat bertugas di balai itu kerana ia menyimpan sejarah tersendiri sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Katanya, dengan landskap yang sangat cantik berkeluasan hampir dua hektar, balai itu dijaga rapi oleh seorang tukang kebun.

“Apabila berada di dalam balai, kita dapat melihat sempadan akawasan daerah Kuala Muda dan Sik yang hanya dipisahkan oleh Jambatan Sungai Jeniang yang sangat cantik.

“Namun pemandangan yang cantik ini terhasil daripada usaha keras anggota polis dulu yang bermati-matian menentang komunis di sini,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Balai Polis Jeniang.

Menurutnya, hasil temu ramah pihaknya dengan beberapa penduduk asal Jeniang termasuk seorang warga emas berusia 86 tahun, balai itu pada asalnya dibina di deretan rumah kedai pada 1910 berhampiran lokasi balai sekarang.

Balai Polis Jeniang dulu diletakkan di bawah pentadbiran British dan seramai lima anggota Special Constable (SC) ditempatkan di situ.

“Mengikut cerita orang di sini, dua Ketua Polis balai ini dikatakan dibunuh oleh komunis. Dia dikenali sebagai Datuk Madat yang dipercayai dibunuh di Jalan Batu 34, Bukit Selambau dan seorang lagi dikenali sebagai Pak Ya disembelih di Jalan Kebun Teh, juga di Bukit Selambau.

“Pengangkutan utama dahulu rakit berantai yang digunakan untuk menyeberang sungai dengan bayaran satu sen sebelum jambatan besi berlapik papan dibina oleh British.

“Pekan Jeniang dulu dipercayai banyak dihuni oleh tali barut komunis. Atas keselamatan anggota polis, British membina balai polis ini di atas bukit berhampiran jalan masuk ke Kampung Lahar,” katanya.

Selain itu, Ramlee difahamkan balai itu turut mempunyai terowong untuk anggota polis melarikan diri terus ke sungai sekiranya diserang hendap namun terowong itu kini ditutup.

“Pada 1994, Balai Polis Jeniang diambil alih pentadbirannya mengikut Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik. Pada 1996 pula, enam unit kediaman anggota di belakang balai ini musnah terbakar.

“Tiada pembinaan semula kediaman terbabit hinggalah pada 2006, kerja pengubahsuaian dan baik pulih kawasan balai dilakukan tetapi masih mengekalkan identiti serta reka bentuk asal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis IPD Sik, Deputi Suprintendan Abdull Razak Osman berkata, seiring dengan peredaran zaman, cabaran polis di daerah itu bertukar kepada jenayah lain termasuk masalah dadah.

Bagaimanapun, katanya, indeks jenayah di Sik masih rendah berbanding daerah lain.

“Musuh kita sekarang bukan lagi komunis, tetapi dadah. Ramai anak muda terutama bawah usia 40 tahun termasuk pelajar sekolah sudah terjebak dengan dadah, ini yang membimbangkan.

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab bersama masyarakat termasuk ibu bapa berganding bahu menangani jenayah dan masalah dadah.

“Jangan sia-siakan keamanan yang kita kecapi hasil pengorbanan pasukan keselamatan dahulu,” katanya yang turut meninjau kawasan balai polis berkenaan bersama Ramlee.

Disiarkan pada: August 23, 2019 @ 6:40am
d