utama

Kawasan suci Kiai Salleh

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

KUALA LUMPUR: Serbuan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di perkampungan ‘bunian’ di Segambut Dalam di sini, membongkar kewujudan satu kawasan ‘suci’ yang dibina warga asing dari Jawa Timur, Indonesia.

Dalam tinjauan Harian Metro mendapati terdapat sebuah batu besar tertera kalimah Allah dan Muhammad dalam tulisan jawi yang ditulis menggunakan cat putih.

Malah, mereka turut meletakkan dua patung batu di kiri dan kanan dalam kawasan suci itu yang dipercayai sebagai dewi menurut kepercayaan masyarakat Jawa Timur.

Kawasan suci itu terletak di lereng paling atas di perkampungan haram berkenaan dan dikatakan dibina serta diwarta sebagai suci oleh seorang lelaki dikenali sebagai Kiai Salleh yang berasal dari Propolingo, Jawa Timur sejak lebih lima tahun lalu.

Kewujudan kawasan itu hanya diketahui selepas pegawai penguat kuasa JIM Kuala Lumpur memecah sebuah pintu rumah kongsi sebelum menemui satu kawasan di dalamnya yang turut menempatkan beberapa unit lagi rumah kongsi lain.

Ketika serbuan di kawasan ‘suci’ itu, anggota imigresen menahan lima lelaki dan seorang wanita.

Salah seorang lelaki Indonesia yang mahu dikenali sebagai Ardie berkata, kawasan berkenaan adalah kawasan larangan serta hanya orang tertentu sahaja dibenarkan masuk dengan kebenaran Kiai Salleh. Katanya, kawasan itu terkenal dalam kalangan warga Indonesia yang berada di negara ini untuk bertemu Kiai Salleh dan memohon hajat.

“Semuanya mesti dengan kebenaran Kiai Salleh dan jika tiada urusan, warga Indonesia yang tinggal di sekitar kawasan ini pun dilarang masuk,” katanya.

Ditanya siapa Kiai Salleh dan di mana lelaki itu berada, Ardie berkata, individu berkenaan kini berada di Indonesia selepas pulang menyambut Aidiladha.

Katanya, Kiai Salleh kerap berulang alik ke negara ini dan akan tinggal dalam tempoh sebulan.

“Jika datang, Kiai Salleh selalunya akan tinggal selama sebulan sebelum pulang semula ke Indonesia.

“Dia tidak datang untuk bekerja, sebaliknya semata-mata mahu menjaga tempat suci ini serta berjumpa dengan individu yang mempunyai hajat dengannya,” katanya.

Sementara itu, warga Indonesia lain yang mahu dikenali sebagai Hadit berkata, sepanjang tiga tahun bekerja di negara ini, dia tidak pernah sekalipun dibenarkan masuk ke kawasan terbabit.

Katanya, dia juga tidak pernah melihat keadaan di dalamnya dan mengambil gambar di kawasan itu juga dilarang.

“Memang kebanyakan kami tahu dan mendengar mengenainya, tetapi kami tidak tahu apa yang ada di dalamnya,” katanya.

Disiarkan pada: August 24, 2019 @ 6:05am
d