utama

Dok rok cetong

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SEBAHAGIAN lelaki yang ditahan kerana tidak solat Jumaat memberi alasan musafir bagi mengelak ditahan ketika operasi ‘Ponteng Solat Jumaat’ di Air Terjun Sekayu, Kuala Berang, semalam.

Dalam operasi bermula 11 pagi hingga 2.30 petang itu, seramai 17 lelaki berusia antara 15 hingga 37 tahun ditahan kerana bersantai sambil mandi manda bersama-sama keluarga ketika solat Jumaat.

Ketua Penolong Pesuruhjaya (Penguatkuasaan) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Nik Zuhaiza Ismail berkata, operasi dijalankan susulan aduan diterima memaklumkan pengunjung terutamanya lelaki tempatan tidak solat Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya terlebih dulu membuat pemantauan dengan menempatkan penguat kuasa wanita di lokasi berkenaan dan penguat kuasa lelaki bergegas ke lokasi kejadian sebaik selesai solat Jumaat.

“Ketika serbuan, ada antara mereka sedang mandi dan bersantai bersama keluarga sebelum mengaku musafir tetapi soal siasat mendapati mereka hanya penduduk tempatan yang datang dari kawasan berhampiran saja.

“Majoriti yang datang ke sini adalah pengunjung luar dan mereka ini (penduduk berhampiran) mungkin berasa selamat serta dapat mengaburi mata pihak berkuasa dengan mengaku sebagai musafir,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nik Zuhaiza berkata, semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Agama Hulu Terengganu untuk disiasat mengikut Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 iaitu mana-mana lelaki akil baligh yang tidak menunaikan solat Jumaat di masjid kecuali terdapat keadaan dibenarkan hukum syarak adalah satu kesalahan.

“Mereka ini berdepan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Selain aduan daripada masyarakat setempat, operasi sama akan diteruskan bagi menangani masalah ponteng solat Jumaat terutama di lokasi yang menjadi tumpuan awam,” katanya.

Disiarkan pada: August 24, 2019 @ 4:06pm
d