utama

Manisnya senyuman Nur Mardhiah [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

USIANYA baru 22 bulan namun Nur Mardhiah Shahadah Abdul Hadi sudah diuji dengan barah mata tahap empat yang menyebabkan pancaindera kirinya buta dan rabun di sebelah kanan.

Selain barah, bayi itu juga menderita masalah usus, hati bengkak, paru-paru kronik dan kaki bengkok yang menyebabkan pergerakannya terbatas hingga terpaksa menggunakan alat sokongan.

Ibunya, Nur Natasya Rasid, 23, berkata, seawal usia sebulan, anaknya itu sudah ditahan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kajang bagi mendapatkan rawatan selepas dikesan menghidap radang paru-paru (pneumonia).

Menurutnya, anak bongsunya itu ditahan di ICU selama sebulan dan ketika berusia tiga bulan, doktor mengesahkan Nur Mardhiah sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) kategori Cerebral Palsy dan mengalami kelewatan pembangunan global (GDD) berikutan perkembangannya yang tidak normal seperti bayi lain.

“Nur Mardhiah disahkan menghidap barah mata pada Mac tahun lalu selepas melakukan pemeriksaan lanjut dengan pakar serta ujian Imbasan Resonan Magnetik (MRI).

“Sesi rawatan kemoterapinya sudah selesai dan Februari lalu, dia menjalani pembedahan membuang mata kiri dan kini menggunakan pancaindera palsu.

“Menurut doktor, barah itu berpunca daripada kromosom 13q iaitu sejenis penyakit kelainan genetik dan berkemungkinan tidak dapat hidup lama serta hilang satu persatu daya keupayaan sehingga meninggal dunia.

“Kini, saya hanya mengikut nasihat doktor dan setiap tiga minggu sekali, Nur Mardhiah akan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pembedahan kecil di bahagian matanya ,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kajang Utama, Kajang.

Nur Natasya berkata, bukan tidak mahu bekerja cuma dia tiada wang untuk membayar pengasuh dan perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada Nur Mardhiah yang bergantung kepada alat bantuan pernafasan setiap empat jam sekali.

Katanya, keadaan itu membuatkan dia runsing kerana memerlukan wang untuk membeli keperluan Nur Mardhiah selain menampung kos tambang Grab untuk pergi dan balik dari Hospital Kajang dan HKL.

“Saya sudah berpisah dengan bekas suami pada Ogos tahun lalu dan kini menetap di rumah ibu, Nor Aishah Ibrahim ,53, bersama dua adik.

“Ibu bekerja sebagai kerani namun pendapatannya tidak cukup kerana setiap bulan, sebanyak RM600 diperlukan bagi membeli susu formula khas untuk Nur Mardhiah dan itu belum termasuk lampin pakai buang serta lain-lain keperluan .

“Saya pernah memohon bantuan daripada agensi kerajaan tetapi tidak berjaya disebabkan pendapatan isi rumah melebihi yang sepatutnya dan kini mengharapkan sumbangan orang ramai menerusi kempen dilaksanakan platform penjanaan awam (crowdfunding), Kitafund,” katanya.

Nur Natasya berkata, tiada apa yang diharapkan kecuali melihat Nur Mardhiah kembali sembuh dan dapat menjalani hidup normal seperti kanak-kanak lain.

Katanya, tanpa Nur Mardhiah, hidupnya tidak bermakna kerana tiada zuriat lain memandangkan anak sulungnya kini tinggal bersama bekas suami manakala yang kedua diserahkan kepada ibu saudaranya sejak lahir.

“Walaupun sakit, keletah Nur Mardhiah sentiasa menghiburkan saya malah dia seorang anak yang ceria dan tidak menangis biarpun ketika menjalani rawatan kemoterapi.

“Malah, saya juga tidak mahu terlalu memikirkan mengenai soal jangka hayatnya sebaliknya akan terus berikhtiar yang terbaik saya mahu nyawanya panjang dan sihat semula,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan kepada Nur Natasya boleh berbuat demikian menerusi bit.ly/metromardhiah.

Disiarkan pada: August 24, 2019 @ 10:00pm
d