utama

Bangga rai dua sambutan perayaan

MELAKA: Jika 25 tahun dulu beliau terkilan kerana terpaksa menentang ibu kandung demi kebahagiaan adik perempuannya yang nekad berkahwin dengan pemuda Melayu, tetapi kini Datuk Goh Seng Chong berbangga kerana memiliki keluarga harmoni, malah berpeluang meraikan dua sambutan perayaan.

Seng Chong, 57, berkata, sebagai abang kepada lima adik perempuan sudah pasti dia menjadi tempat adiknya berkongsi masalah dan meminta bantuan.

Menurutnya, walaupun tidak menjangka adik perempuan ketiganya Nur Hidayu Goh Abdullah membuat keputusan mendirikan rumah tangga dengan pemuda Melayu (Muhammad Mustafa Abdul Salam), dia tidak terkejut kerana berpendapat itu jodoh mereka.

Mengakui, walaupun menerima tentangan dan halangan ibu dengan keputusan dibuat adiknya itu, dia sebagai abang sulung mencari penyelesaian bukan saja sebelum mereka berkahwin, tetapi selepas kedua-duanya sah menjadi suami isteri.

“Apabila ibu kata tidak boleh terima adik tukar agama serta berkahwin dengan pemuda Melayu dan hanya akan menerima menantu Cina saja ketika itu, saya rasa keputusannya tidak betul.

“Kerana sebagai seorang ibu perkara paling penting kebahagian anak, malah tidak sepatutnya kita melihat orang daripada segi agama dan bangsa saja,” katanya.

Katanya, kefahaman berkaitan kebudayaan, bangsa dan agama tidak boleh hanya didengari daripada masyarakat sekeliling atau bacaan tanpa diri sendiri tidak memahaminya secara mendalam.

Menurut Seng Chong, dua tahun pertama selepas perkahwinan adiknya waktu sukar untuk menyatukan kembali keluarganya.

Bagaimanapun, beliau tetap mencari penyelesaian supaya adik ipar diterima dan semuanya dipermudahkan apabila adiknya melahirkan cucu sulung keluarga mereka.

“Siapa sangka selepas menerima tentangan, kini adik ipar (Mustafa) dengan ibu amat rapat, malah seperti rakan baik selain adik-beradik lain turut menghormati mereka terutama dalam bab agama.

“Selain penerimaan, apa yang membuatkan hubungan ibu dan menantu itu rapat disebabkan bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu, jika ibu tidak dapat menguasai Bahasa Melayu sepenuhnya sudah pasti komunikasi turut jadi halangan,” katanya.

Sementara itu, bagi Muhammad Mifzal Muhammad Mustafa, 25, dilahirkan dalam keluarga campuran mempunyai kelebihan buat dirinya kerana dapat memahami budaya berlainan walaupun tidak dapat berbahasa Mandarin.

“Walaupun berlainan agama daripada sepupu dan bapa saudara, itu bukan halangan kami tidak rapat, malah hubungan kami akrab,” katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2019 @ 5:16am
d