utama

Sedia bantu Malaysia

Oleh Firdaus Hashim

PENYERANG Harimau Malaya, Ahmad Hazwan Bakri percaya dirinya mampu menyumbang sesuatu buat skuad negara meskipun jarang beraksi bersama kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Katanya, kekurangan minit permainan bukan penghalang untuknya cuba memberikan aksi terbaik bersama pasukan kebangsaan yang akan turun beraksi pada kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, 5 September ini.

Menurut bekas pemain Selangor itu, dia akan berusaha sebaik mungkin dalam sesi latihan skuad negara bawah kendalian Tan Cheng Hoe bagi menemui sentuhan berbisanya yang pernah menjadi igauan pertahanan lawan.

“Rasa bersyukur sebab jurulatih masih memberi peluang lagi kepada saya. Saya tahu jarang bermain dekat sana (JDT), saya tak pertikaikannya sebab kat sana memang ramai pemain berkualiti. Mungkin masa ini (kem latihan negara) saya boleh bagi pengalaman semua.

“Ada juga macam (rasa) tak ada fitness perlawanan (minit permainan) tapi itu tak ada masalah sebab kat sini pun kita berlatih dengan intensiti tinggi,” katanya pada sesi latihan hari kedua skuad Harimau Malaya di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras, di sini, semalam.

Hazwan yang pernah dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Bernilai dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2016 dikritik hebat peminat tempatan apabila disenaraikan Cheng Hoe pada latihan pusat kali ini.

Rata-rata peminat mempertikaikan pemilihannya kerana pemain kelahiran Labuan itu lebih banyak memanaskan bangku simpanan skuad Harimau Selatan musim ini.

Jelasnya, dia akan cuba memperagakan aksi terbaik bagi memikat barisan kejurulatihan untuk berada dalam kesebelasan utama.

“Setakat ini (latihan) Alhamdulillah, tapi saya kena banyak lagi bagi komitmen untuk berada dalam kesebelasan utama skuad Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada: August 27, 2019 @ 5:30am
d