utama

Buat apa nak malu...

Oleh Redzuan Muharam

“BIARLAH apa orang nak kata, asalkan pekerjaan yang saya lakukan halal," kata Muhammad Harith Zulkifli,22.

Muhammad Harith adalah graduan lulusan Diploma Teknologi Elektronik Kolej Vokasional Seri Manjung (KVSM) yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pusat beli-belah di Seri Manjung, Perak.

Menurut Muhammad Harith, dia mula bertugas sebagai pengawal keselamatan sejak Julai tahun lalu dan menceburinya secara tidak sengaja selepas berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian.

"Saya pernah bekerja sebagai jurujual kereta selama setahun iaitu pada Januari 2017 hingga Februari 2018 tetapi berhenti kerana ditawarkan menjadi operator pengeluaran sebuah kilang elektronik di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Mac tahun lalu.

"Namun, saya hanya sempat bekerja di kilang berkenaan selama sebulan saja sebelum berhenti kerana tidak menerima gaji seperti yang dijanjikan... gara-gara ditipu ejen sebuah agensi pekerjaan.

"Selepas insiden itu, saya nekad pulang ke kampung untuk memulakan hidup baru tetapi keadaan jadi bertambah rumit apabila gagal mendapat pekerjaan hingga terpaksa menganggur selama tiga bulan.

"Bagi mengisi masa terluang, saya bantu ibu menghantar makanan yang dijualnya dan pada masa sama mencuba nasib dengan memohon kerja sebagai pengawal keselamatan. Tak sangka pula, permohonan saya itu diterima," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu berkata, pada mulanya, ibu, Asiah Razali, 45 dan ayahnya, Zulkifli Abu Bakar, 57, agak keberatan untuk membenarkannya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Bagaimanapun, Muhammad Harith berkata, persepsi ibu dan ayahnya berubah selepas melihat kesungguhannya mencari rezeki bagi menampung perbelanjaan bulanan.

“Saya sanggup bekerja sebagai pengawal keselamatan kerana memerlukan wang untuk menjelaskan komitmen bulanan iaitu ansuran kereta dan bil telefon.

“Lagipun, bukan senang untuk mendapat kerja pada masa sekarang jadi daripada terus menganggur, lebih baik saya ambil tawaran berkenaan.

“Alhamdulillah, keluarga faham cuma bekas teman wanita tidak dapat menerimanya hingga memutuskan perhubungan kami dan ada juga rakan yang mengutuk serta memperlekehkan pekerjaan saya,” katanya.

Muhammad Harith berkata, setiap pekerjaan mempunyai cabaran tersendiri begitu juga dengan kerjaya sebagai pengawal keselamatan yang menuntutnya bertindak cekap dan sentiasa bersedia untuk ditugaskan di mana-mana kawasan dalam pusat beli-belah.

“Waktu kerja saya tidak menentu kerana perlu mengikut syif ditetapkan namun ia bukan satu masalah kerana sudah dapat membiasakan diri dengannya.

“Malah, saya juga tidak malu bekerja sebagai pengawal keselamatan sekalipun memiliki diploma kerana sekurang-kurangnya, pekerjaan ini membolehkan saya membantu keluarga menjelaskan ansuran bulan rumah.

“Cuma, saya belum berputus asa dan masih menaruh harapan untuk bekerja dalam bidang berkaitan dengan jurusan diambil sewaktu diambil sewaktu pengajian,” katanya.

Disiarkan pada: August 27, 2019 @ 7:53pm
d