utama

Teruja Tunku Azizah ciap 'Canteknya!'

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

BERMULA daripada luahan guru Bahasa Melayu, Darsilah Darus yang bercerita mengenai minatnya melihat cara pemakaian Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar gemar mengenakan selendang sebagai pelengkap busana, sembilan pelajar mengenakan fesyen sama pada sesi fotografi majalah sekolah.

Mereka yang juga pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 24 (2) Shah Alam dan beberapa keping foto itu dikongsi pelajar, Sarah Misha Mirza Mohammad Raziq Beg, 17, di laman Twitter @SarahMiisha.

Lebih manis, ia mendapat reaksi positif daripada Tunku Azizah yang memuji penampilan mereka sebagai cantik.

Sarah Misha ketika dihubungi Harian Metro, berkata pada mulanya dua daripada rakan perempuan membantu guru mereka di bilik guru.

“Kebetulan cikgu Darsilah bercerita mengenai pakaian Permaisuri Agong yang diminatinya sambil menunjukkan foto baginda.

“Pada malam itu, rakan kami mencadangkan untuk mencuba gaya selendang lalu kami bersetuju walaupun pada mulanya tak berapa yakin,” katanya.

Menurutnya, mereka tida menyangka foto dimuat naik itu tular kerana mengakui ia sekadar suka-suka sahaja.

Apatah lagi, pengikutnya di laman Twitter hanya enam orang dan apabila mulai tular sejak Ahad lalu, mereka sangat terharu dan agak terkejut.

Malah, ahli keluarga masing-masing serta guru turut tumpang gembira.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, foto diambil di Eco Ardence Park itu hanya membabitkan 17 pelajar pada 24 Ogos lalu.

“Kami rasa terharu kerana Permaisuri Agong memberi maklum balas positif dan masih sukar untuk percaya kerana semuanya berlaku begitu pantas,” katanya kini sedang menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Disiarkan pada: August 27, 2019 @ 10:00pm
d