utama

Pikul amanah ketua keluarga - Ippo

Oleh Sudirman Mohd Tahir

HUBUNGAN yang dibina sejak November tahun lalu membawa kepada ikrar janji sehidup semati antara penyanyi dan komposer, Ippo Hafiz dengan isteri, Norfarahin Mohd Roslan, 31.

Pengalaman putus cinta beberapa kali sebelum ini membuatkan Ippo, 30, atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Yaziz nekad tidak mahu lagi bercinta dalam tempoh waktu panjang.

Yakin dengan pilihan diri, Ippo memberanikan diri menghantar rombongan merisik pada Mac lalu sebelum akhirnya selamat diijabkabulkan Sabtu lalu.

“Apabila jurunikah kata saja sah, ia bermakna saya memikul satu lagi tanggungjawab baharu sebagai suami dan ketua keluarga.

“Saya akan cuba sebaik mungkin menjalankan amanah ini dalam keluarga baharu saya. Pastinya ia bukan sesuatu yang mudah, tapi bagi saya apa yang paling penting adalah kesefahaman antara suami isteri.

“Ketika mula berkenalan dengan isteri, saya cakap tak mahu bercinta lama-lama. Lagipun, saya belajar daripada pengalaman lalu apabila bercinta lama-lama akhirnya putus. Jadi, saya tak nak perkara sama berulang,” katanya.

Ippo yang juga komposer bagi beberapa lagu tema drama popular di TV3 mengakui sudah lama bersedia dengan segala kekurangan isteri.

Menurutnya, untuk ke arah itu dia dan isteri akan saling memperbaiki diri bagi mendapatkan kehidupan lebih baik.

“Apabila kami mula berkawan, bercinta dan seterusnya berkahwin, saya sudah cakap kepada diri perlu bersedia untuk terima segala kekurangan.

“Pada masa sama, perlu tanam dalam diri sikap bertolak ansur agar kehidupan saling melengkapi. Begitu juga dengan isteri. Dalam perkahwinan ini, tidak ada sesiapa yang sempurna.

“Namun, perkara itu boleh dibuat jika sesama pasangan bersedia untuk berubah dan memperbaiki diri,” katanya.

TERINGIN ANAK KEMBAR

Berkongsi mengenai perancangan selepas berkahwin, Ippo merancang berbulan madu pada Oktober ini bersempena hari jadinya.

“Memandangkan bulan ini dan bulan depan jadual kerja agak padat, saya ambil keputusan pergi bulan madu pada Oktober.

“Lokasi pun tak pilih lagi sebab saya mahu membuat kejutan buat isteri. Kalau semuanya sudah sedia, baru boleh saya maklumkan kepadanya,” katanya.

Mengenai cahaya mata pula, Ippo memasang impian untuk mendapatkan anak kembar.

“Saya anggap ini rezeki. Kami pun tidak merancang. Kalau dapat cepat, lagi bagus. Cuma, saya idamkan anak kembar.

“Kebetulan saya memang ada anak angkat perempuan. Sedikit sebanyak pengalaman menguruskan anak sudah ada. Jadi, lebih mudah,” katanya.

Terdahulu, Ippo dan isteri sah bergelar suami isteri dengan hanya sekali lafaz di sebuah vila di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Mohd Roslan Marwi dengan disaksikan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk Orang Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ustaz Mohd Abd Nasir Abdullah.

Pada majlis itu, Ippo menyerahkan mas kahwin RM80, wang hantaran RM20,000 berserta tujuh dulang hantaran. Sementara pihak perempuan membalas dengan sembilan dulang.

Disiarkan pada: August 28, 2019 @ 5:40am
d