utama

Solat tepi kubur dalam masjid

Oleh Ramli Ibrahim

GUA MUSANG: Melihat sebuah kubur di dalam masjid mungkin pelik namun keunikan itu sememangnya berlaku di Masjid Razaleigh, dekat Bandar Lama Gua Musang sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya terutama dalam kalangan penduduk luar.

Kubur berusia lebih 60 tahun itu terletak di bahagian saf ketiga di dalam ruang masjid, menyebabkan jemaah terpaksa solat di hadapan, belakang, kiri dan kanan kubur itu yang ditutupi dengan kotak kayu.

Berdasarkan sejarah, kubur itu adalah milik seorang wanita sarat mengandung sembilan bulan yang meninggal dunia akibat ditembak ketika berlaku perang pada 1943.

Pada zaman itu kekejaman komunis berleluasa sehingga mengakibatkan banyak nyawa penduduk kampung terkorban dan banyak jenazah dikebumikan di tapak masjid berkenaan.

Bagaimanapun, hanya kubur terbabit ditanda dan dapat dikesan sebelum masjid itu dibina pada 1970-an selepas mendapat persetujuan semua penduduk untuk membiarkan tapak kubur berkenaan berada dalam kawasan masjid.

Imam Muda Masjid Razaleigh, Mohd Saifuldin Mohamad berkata, pada asalnya, kubur itu berada di belakang masjid namun selepas rumah ibadat itu dibina baharu dan dibesarkan pada 1978 menyebabkan kedudukannya berada di ruang solat.

“Berikutan itu, masjid berkenaan bukan sahaja menjadi tarikan pengunjung melakukan aktiviti keagamaan, malah menjadi tumpuan penyelidik sejarah di negara ini.

“Ada pelajar sekolah dan universiti awam datang untuk melakukan rujukan mengenai sejarah kubur itu, tetapi mereka yang lebih mengetahui sejarah berkenaan kubur terbabit sudah meninggal dunia.

“Kami sentiasa menjaga pusara ini dengan cara membersihkan secara berkala dan menutupnya dengan menggunakan penutup kayu khas,” katanya, semalam.

Sementara itu, jemaah, Mohamad Azahari Ibrahim, 64, berkata kubur yang berada di tengah masjid itu masih menjadi tanda tanya terutama penduduk luar yang singgah bersolat sehingga seolah-olah menjadi mercu tanda serta keunikan masjid berkenaan.

“Kubur yang terletak dikedudukan saf ketiga serta kira-kira dua meter dari mimbar masjid itu masih kekal menjadi bahan peninggalan sejarah di Gua Musang.

“Sempena sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos setiap tahun, Masjid Razaleigh menjadi simbol semangat patriotik jemaah yang turut mengadakan solat hajat dan kuliah agama,” katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2019 @ 5:40am
d