utama

Buntu cari duit sambung belajar

Oleh Ramli Ibrahim

GUA MUSANG: Seorang remaja buntu memikirkan perbelanjaan bagi melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang bulan depan kerana kesempitan hidup.

Muhamaad Izzat Amran Ibrahim, 20, berkata, untuk pendaftaran Sarjana Muda Sains (Perumahan, Bangunan dan Perancangan), dia memerlukan RM1,400, namun tidak mampu berbuat demikian.

Katanya, walaupun ada kemungkinan menerima pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), namun dia masih buntu memikirkan kos sepanjang tempoh pengajian.

“Bapa hanya menoreh getah dengan pendapatan RM700 sebulan manakala ibu menjaja petai dengan upah sekitar RM500 sebulan.

“Pada masa sama, mereka perlu menyara adik-beradik lain yang masih bersekolah selain menanggung kos rawatan adik lelaki, Mokhtar Lamata yang menghidap penyakit usus.

“Saya tidak sampai hati membebankan mereka dan berhasrat menangguhkan pengajian untuk mencari pekerjaan,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, dia menghantar surat permohonan menangguhkan pendaftaran pada September depan namun ditolak pihak universiti.

“Kini saya buntu bagaimana mahu mengumpul wang. Jika USM luluskan penangguhan saya boleh bekerja sambilan di mana-mana tempat untuk mengumpulkan wang tanpa membebankan ibu bapa,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0302041000159967 atas nama Muhamaad Izzat Amran Ibrahim.

Disiarkan pada: August 29, 2019 @ 5:50am
d