utama

Alhamdulillah, wang Izzat sudah cukup

Oleh Ramli Ibrahim

“ALHAMDULILLAH, sumbangan pelbagai pihak dan orang persendirian sudah cukup hingga membolehkan saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia (USM).

“Ramai yang datang ke rumah saya dan memasukkan wang dalam akaun bank. Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang membantu,” kata Muhammad Izzat Amran Ibrahim, 20, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Limau Kasturi, di Gua Musang, hari ini.

Kisah Muhammad Izzat anak ketiga daripada 12 beradik yang tidak mempunyai wang yang cukup untuk mendaftar di USM bulan hadapan mendapat simpati ramai apabila dia terpaksa menjual petai bersama ibunya, Zubaidah Yusoff, 46.

Muhammad Izzat yang akan menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains (Perumahan, Bangunan dan Perancangan) berkata, dia menarik nafas lega apabila dapat mencapai impiannya demi membantu keluarga.

Katanya, dia sebelum ini menghantar surat penangguhan pengajian di USM Pulau Pinang pada 27 Ogos lalu sebelum menerima panggilan daripada pengurusan universiti untuk dia hadir mendaftar pada 2 September depan kerana USM juga sedia membantu.

“Saya amat terharu dengan perhatian diberikan pelbagai pihak mengenai kemiskinan yang saya hadapi sehingga terpaksa memohon penangguhan pendaftaran masuk USM.

“Sebenarnya saya tidak mahu menyusahkan banyak pihak termasuk keluarga untuk mencari wang bagi perbelanjaan saya sambung pelajaran,” katanya.

Sebelum itu, dia menerima kunjungan Pengurusan Pasaraya Econsave Pasir Puteh diketuai Pengurusnya, Toh Sharin untuk menghulur sumbangan bagi perbelanjaan di USM.

Akhbar hari ini melaporkan kesusahan Muhammad Izzat yang terpaksa memohon penangguhan pendaftaran ke USM kerana tidak mampu mengumpulkan wang sebanyak RM1,400 untuk pendaftaran.

Muhammad Izzat juga terpaksa membantu ibunya menjaja petai bagi mengumpul wang untuk tujuan berkenaan dan bapanya, Ibrahim Ismail, 56, bekerja penoreh getah tidak mampu menanggung perbelanjaan.

Menurut Muhammad Izzat, dia akan keluar rumah awal pagi Ahad ini untuk ke Pulau Pinang bagi pendaftaran ke USM dan akan membantu keluarga selepas berjaya kelak.

Sementara itu, Toh Sharin berkata, pihak pengurusan amat bersimpati dengan Muhammad Izzat yang berdepan dengan masalah kewangan bagi meneruskan pengajian.

Katanya, beliau terpanggil untuk menghulurkan bantuan supaya masa depan Muhammad Izzat tidak terjejas dan perbelanjaan bagi tujuan itu tidak terbantut.

“Memang kita rasa sedih melihat kehidupannya dan seperti orang lain juga kita bantu bagi meringankan beban perbelanjaan,” katanya.

Berita berkaitan

USM nafi tolak tangguh pengajian

Buntu cari duit sambung belajar

Disiarkan pada: August 29, 2019 @ 6:29pm
d