utama

Ramli si pemakan api

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

SEBELUM persembahan, sambil diiringi sorakan penonton, Ramli Nayan, 56, berkumur dengan minyak tanah.

Selepas melenggok- lenggokkan kepalanya, Ramli menyembur minyak tanah itu pada nyalaan api di batang besi menyebabkan api terbabit menjulang.

Aksi lagak ngeri Ramli bermain api yang sudah sebati dengan dirinya sejak 43 tahun lalu itu membuatkan penonton terpegun.

Ramli berkata, dia didedahkan dengan permainan api oleh guru silat ketika mempelajari ilmu persilatan pada usia 13 tahun.

“Saya mengambil masa dua bulan untuk menguasainya dan sepanjang tempoh belajar (bermain api), kening saya pernah terbakar selain melecur.

“Walaupun pada peringkat awal sukar untuk mempelajarinya namun lama-kelamaan, saya jatuh cinta dengan permainan ini,” katanya.

Menurut Ramli, dia turut berguru dengan ahli silap mata bagi mempertingkatkan ilmu dan kemahiran bermain api selain belajar menerusi YouTube.

Namun begitu, katanya, ada juga suara sumbang mengatakan permainan itu dipengaruhi dengan jampi serapah selain ilmu kebal.

“Ia tidak benar kerana permainan itu adalah gabungan ilmu sains dan matematik. Ramai tidak mengetahui perkara ini.

“Dari sudut sains, api terbentuk daripada tiga unsur iaitu bahan, pencetus dan udara. Tanpa satu daripada unsur ini, api tidak boleh menyala.

“Dari sudut matematik pula, api tidak boleh berada di dalam mulut atau pada kulit lebih daripada dua saat. Jika sebaliknya, kulit pelakunya boleh melecur,” katanya.

Ramli berkata, individu yang mahu bermain api perlu terlebih dahulu mengetahui bagaimana menyala dan mematikan api.

“Walaupun sudah lama dalam bidang ini, saya tetap berhati-hati. Perkara penting ketika bermain api ialah, pastikan kedudukan api pada sudut 45 darjah atau 60 darjah.

“Ia bagi mengelakkan api daripada terjatuh pada muka yang boleh menyebabkan kecederaan,” katanya.

Menurut Ramli, setiap kali membuat persembahan, dia diiringi pembantu yang membawa peralatan kecemasan seperti alat pemadam api sebagai persediaan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

“Saya juga sedia berkongsi ilmu bermain api dengan individu yang berminat,” katanya.

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 5:40am
d