utama

Mata-mata kesan kaki ponteng solat

Oleh Norizuan Shamsuddin

KUALA TERENGGANU: Kaki ponteng solat Jumaat tidak lagi ‘selamat’ apabila Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) meletakkan kakitangan wanita sebagai ‘mata-mata’ bagi mengesan lelaki yang sengaja meninggalkan solat itu.

Ia antara kaedah digunakan JHEAT bagi mengekang gejala ponteng solat Jumaat di negeri ini.

Nyata taktik digunakan JHEAT itu membuahkan hasil apabila berjaya menahan seramai 29 lelaki dalam tiga operasi berasingan di Pulau Kekabu, Marang; Air Terjun Sekayu, Kuala Berang dan di bandar raya ini sejak Julai lalu.

Ketua Penolong Pesuruhjaya (Penguatkuasaan) JHEAT, Nik Zuhaiza Ismail berkata, operasi akan digerakkan di setiap daerah dan anggota penguat kuasa wanita akan melakukan risikan serta pemantauan di kawasan yang dikenal pasti menjadi tempat kaki ponteng solat Jumaat berada termasuk di kawasan rekreasi, restoran dan rumah.

Beliau berkata, anggota penguat kuasa wanita melakukan pemantauan terlebih dahulu bermula seawal jam 11 pagi sehingga berakhir solat Jumaat kira-kira jam 2.30 petang bagi mengenal pasti lelaki yang ponteng solat Jumaat.

“Serbuan akan dilakukan anggota penguat kuasa lelaki sejurus selesai solat dan individu yang ditangkap akan disiasat sebelum didakwa di Mahkamah Rendah Syariah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, kebanyakan kaki ponteng yang ditahan menjadikan malas sebagai penyebab utama selain mendakwa mahu makan durian dan mengaku sebagai musafir semata-mata bagi mengelak dicekup.

Katanya, selain ada yang ditangkap lengkap berbaju Melayu dan bersongkok, ada antara lelaki terbabit dengan selamba bergembira mandi bersama keluarga di kawasan air terjun tanpa rasa bersalah memandangkan mereka kononnya musafir.

Nik Zuhaiza berkata, bagi golongan ‘mak nyah’ pula, mereka hanya melepak di rumah ketika solat Jumaat kerana menyangka ia selamat daripada JHEAT.

“Lelaki yang akil baligh dan tiada sebab munasabah untuk meninggalkan solat Jumaat di negeri ini boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

“Perkara itu selaras dengan peruntukan undang-undang syariah negeri di bawah Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu Pindaan 2016.

“Tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan ini sudah lama dilaksanakan di Terengganu selaras dengan peruntukan undang-undang syariah negeri selain menjadi tuntutan agama Islam dan dinyatakan di dalam al-Quran,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga diharap dapat menyalurkan maklumat berhubung individu yang sengaja meninggalkan solat Jumaat.

Katanya, tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap lelaki berkenaan kecuali terdapat keadaan dibenarkan hukum syarak untuk individu terbabit meninggalkan solat Jumaat.

“Maklumat boleh disalurkan kepada Pejabat Agama Daerah masing-masing dan kita akan ambil tindakan untuk setiap aduan yang diterima,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang juruandam berusia 36 tahun didenda RM2,600 di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu kerana tidak menunaikan solat Jumaat pada April lalu manakala empat lagi mengaku tidak bersalah atas kesalahan sama.

Pada 5 Julai lalu, JHEAT turut menahan tujuh lelaki termasuk seorang remaja hasil operasi Ponteng Solat Jumaat yang dilaksanakan di Pulau Kekabu, Marang manakala 17 lelaki berusia 15 hingga 37 tahun yang ditahan di Air Terjun Sekayu, Kuala Berang pada 23 Ogos lalu memberikan alasan mereka musafir ketika ditahan.

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 5:50am
d