utama

Teroka genre baharu - Afghan

Oleh Ramlah Zainal

LEBIH sedekad membina nama di Indonesia dan Malaysia, sampai masanya penyanyi popular, Afgan berehat seketika daripada industri muzik.

Menurut pemilik nama sebenar Afgansyah Reza, 30, ini, keputusan memperlahankan aktiviti nyanyian diambil kerana mahu keluar dari zon selesa.

“Saya juga mahu mencari idea baharu dan segar. Sebenarnya perkara ini sudah saya pertimbangkan sebelum berlangsung konsert Dekade di Jakarta.

“Maklumlah, sepanjang tempoh 11 tahun saya bekerja tanpa henti malah setiap minggu ada saja undangan konsert dan gig di Indonesia,” katanya.

Kebetulan, kata Afgan, dia menerima tawaran menghasilkan album Inggeris di Amerika Syarikat (AS) dan bakal berangkat ke San Francisco pada September ini.

Sudah lama saya impikan album Inggeris dan akhirnya ia dapat direalisasikan.

“Buat permulaan, saya akan berada di sana selama sebulan untuk proses rakaman album yang memuatkan lapan lagu.

“Saya juga akan bekerjasama dengan komposer terkenal di sana.

“Saya bukannya menetap terus di Amerika Syarikat kerana sekali-sekala akan pulang ke Indonesia untuk persembahan,” katanya.

Menurut Afgan, walaupun mahu meneroka genre baharu, ia tidak lari daripada identiti dirinya.

“Saya juga tampilkan genre muzik lebih kepada R&B dalam lagu kebelakangan ini tetapi masih mengekalkan identiti diri,” katanya.

Afgan ditemui pada sidang akhbar konsert Afgan Live di Kuala Lumpur 2019 di Taman Tun Dr Ismail, baru-baru ini.

Mengulas sama ada dia mahu mengikut jejak Agnes Monica melakar nama di pentas antarabangsa, Afgan berkata dia hanya ingin melebarkan bakat dalam arena penghasilan lagu.

“Saya mahu mengembangkan bakat sebagai penulis lagu dan album Inggeris adalah batu loncatan untuk keluar dari zon selesa.

“Mengenai kerjasama dengan penyanyi Malaysia yang menempa nama di Amerika Syarikat, Yuna, saya memang mahu.

“Kami pernah bertemu dan masing-masing terbuka untuk berduet,” katanya.

KONSERT TERAKHIR

Afgan mengumumkan konsert Inspirasi Afgan Live yang akan berlangsung pada 5 Oktober depan adalah persembahan berskala besar terakhirnya di Malaysia.

Konsert anjuran Popcorn Studio Sdn Bhd itu akan berlangsung jam 8.30 malam di HGH Convention Centre, Kuala Lumpur.

Menurut penyanyi yang dikenali menerusi lagu Jodoh Pasti Bertemu dan Terima Kasih Cinta ini, konsert terbabit diadakan bagi meraikan kembara seninya dengan peminat di sini.

“Rangkaian lagu saya sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan peminat sama ada untuk pasangan bercinta mahupun meraikan perkahwinan,” katanya.

Lebih bermakna, konsert terakhir Afgan turut menampilkan idolanya, Datuk Sheila Majid selaku artis undangan buat julung kalinya.

“Saya sangat teruja dapat berduet dengan Kak Sheila pada konsert itu nanti.

“Konsert ini bakal menampilkan barisan pemuzik yang mengiringi persembahan saya sempena konsert Dekade di Jakarta baru-baru ini.

“Saya juga menjanjikan yang terbaik pada konsert Inspirasi ini sekali gus meninggalkan kenangan paling manis buat peminat di Malaysia,” katanya.

Tiket menyaksikan konsert Inspirasi Afgan berharga RM299 hingga RM1,200 boleh didapati dengan melayari laman web www.proticket.com.my.

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 5:55am
d