utama

Samsengnya kamu...

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

POLIS mengesahkan ada menerima laporan berkaitan kes pengawal keselamatan ditampar seorang wanita di kawasan kondominium di Jalan Raja Muda Abdul Aziz di Kuala Lumpur semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, mangsa warga Nepal itu membuat laporan polis pada 11 pagi tadi.

Menurutnya, berdasarkan aduan pengadu dikatakan kejadian berpunca apabila dia menghalang seorang penghantar makanan perempuan yang mahu ke unit rumah di kondominium itu.

“Lelaki itu mendakwa dia berbuat demikian kerana ia adalah peraturan kondominium berkenaan yang tidak membenarkan orang luar untuk naik ke unit rumah demi keselamatan penduduk.

“Wanita yang memesan makanan itu dikatakan berang dengan tindakan pengawal keselamatan terbabit sebelum dia turun dan berlaku pertelingkahan dan bertindak menampar lelaki berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Fahmi berkata, pihaknya akan memanggil wanita itu dalam masa terdekat untuk merakam keterangan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja,” katanya.

Terdahulu tular video dipercayai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 39 saat di media sosial yang menunjukkan wanita menampar seorang pengawal keselamatan ketika berada bersama beberapa lelaki lain.

Warganet itu berkenaan meluahkan perasaan tidak puas hati berhubung tindakan wanita berkenaan.

Disiarkan pada: August 30, 2019 @ 9:38pm
d