utama

Boleh lihat foto barang disita

Oleh Murni Wan Omar

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, semalam menetapkan 14 Oktober depan untuk mendengar permohonan mendapatkan butiran lengkap dan memeriksa barangan yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta anak perempuan mereka, Nooryana Najwa.

Hakim Mohd Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib berkata, pihaknya mengemukakan permohonan yang sama seperti Rosmah dan Nooryana, sebelum ini.

Terdahulu, Muhammad Farhan berkata, pihaknya dimaklumkan Peguam Negara mereka boleh melihat gambar semua barang yang disita SPRM.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya mahu memeriksa semua barang itu secara fizikal.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Aaron Chelliah memaklumkan notis pelucutan hak diwartakan pada 8 Ogos lalu.

Katanya, permohonan penzahiran dokumen berhubung harta yang disita Rosmah dan Nooryana Najwa sudah diterima sebelum ini manakala daripada Najib baru diterima, semalam.

Pihak pendakwaan bersetuju permohonan penzahiran itu didengar terlebih dahulu sebelum kes lucut hak semua harta terhadap 17 responden didengar.

Aaron berkata, peguam Muhamad Al Muazzim Azmi Amin hadir bagi pihak Malayan Banking Berhad iaitu salah satu daripada pihak ketiga dalam prosiding pelucutan hak.

Muhammad Al Muazzim berkata, pihaknya hadir ke mahkamah bagi mendapatkan arahan sama ada mereka berhak untuk menuntut wang yang disita bagi menyelesaikan pinjaman beberapa responden terbabit.

Mahkamah memerintahkan Malayan Banking untuk mengkaji status mereka terlebih dahulu berhubung perkara itu sebelum memfailkan sebarang permohonan untuk menuntut wang yang disita SPRM berkaitan 1MDB.

Najib, 66, memfailkan notis usul bagi memohon responden untuk membekal atau menzahirkan gambar berwarna berserta deskripsi lengkap seperti label, lambang, kad hadiah, bungkusan dan kotak yang dijumpai bersama dengan harta alih yang disita SPRM pada 17 Mei tahun lalu.

Permohonan difailkan atas alasan sebahagian daripada kandungan kotak, beg dan bekas simpanan yang menjadi sebahagian daripada harta alih yang dirampas dikeluarkan daripada bungkusan asal dan ia menyebabkan kekeliruan bagi membuat pengecaman terhadap harta alih berkenaan.

Rosmah, 68, dan Nooryana, 31, pula memohon diberi kebenaran untuk membuat pemeriksaan fizikal dan meneliti harta alih yang disita dan berada dalam jagaan SPRM.

Menurut kedua-dua notis usul itu, antara barangan yang dirampas ialah 315 beg tangan pelbagai jenama, 14 utas jam tangan dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta wang tunai pelbagai mata wang asing membabitkan wang tunai RM537,000, Pound Sterling (323,200), Rupee Sri Lanka (2,870,000) dan wang lama Ringgit Malaysia (RM187,750).

Pada 30 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan pihak pendakwaan mewartakan notis kepada pihak ketiga yang mempunyai kepentingan ke atas ratusan beg tangan pelbagai jenama, wang tunai pelbagai mata wang asing, jam tangan dan 27 kereta yang dirampas daripada pasangan suami isteri itu bersama tiga anak mereka dan 13 individu lain serta beberapa syarikat.

Mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan mengikut Akta 56 dan 61(2) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Notis berkenaan bagi membolehkan pihak berkepentingan terbabit untuk tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.

Disiarkan pada: August 31, 2019 @ 5:50am
d