utama

Anak Malaysia kebanggaan

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin dan Meor Riduwan Meor Ahmad

KUALA LUMPUR: Lima tahun berada di New Zealand ketika melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan di Massey University New Zealand sejak 2005 membuka hatinya untuk bekerja dan terus menetap di negara berkenaan.

Malah, ia juga membuka ruang kepada Suhaimi Abd Latif, 49, untuk berdakwah dengan cara tersendiri iaitu membuka Akademi Quran NZ di negara berkenaan.

Akademi itu menawarkan pembelajaran al-Quran yang diasaskan isterinya, Dr Norasieh Md Amin pada 2016.

Usaha murni suami isteri ini secara tidak langsung mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Suhaimi kini bertugas sebagai pensyarah kanan program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat di Otago Polytechnic, Dunedin, New Zealand.

Suhaimi berkata, kelas akademi itu pada peringkat awal hanya diadakan di rumah untuk mengajar al-Quran kepada empat anaknya dan dua anak rakan dari Malaysia.

“Tujuannya mahu memberikan pendidikan al-Quran kepada anak-anak dan mencintai kitab suci itu bagi memperkukuhkan jati diri seorang Islam sebagai panduan hidup.

“Kemudian, satu keluarga besar Melayu dari Cape Town, Afrika Selatan berminat dan mendaftar dalam akademi ini.

“Operasi akademi ini berpindah ke surau Massey University New Zealand bagi menampung bilangan pelajar yang kian bertambah,” katanya.

Menurut Suhaimi, akademi itu mendapat sambutan baik sebelum pihaknya menubuhkan dua lagi akademi sama.

“Namun, kerana kekangan tenaga pengajar, satu daripada akademi ini terpaksa ditutup, kini hanya dua akademi yang masih beroperasi iaitu di University of Aukland dan Massey University.

“Jumlah keseluruhan pelajar ialah 30 orang. Mereka yang berusia empat tahun hingga 60 tahun ini terdiri daripada rakyat pelbagai negara,” katanya.

Suhaimi berkata, tujuh sukarelawan menjadi tenaga pengajar di akademi itu termasuk isterinya.

Dua daripada mereka ialah penuntut Malaysia di New Zealand.

Dia berharap penubuhan akademi ini dapat melahirkan ulama dan imam daripada kalangan penduduk tempatan New Zealand.

“Ini kerana di New Zealand masih belum mempunyai imam dan ulama daripada penduduk tempatan. Imam dan ulama yang ada datang dari negara luar.

“Saya masih berbincang untuk bekerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi menghantar penuntut dari New Zealand melanjutkan pengajian ke UIAM.

“Mereka akan pulang selepas tamat pengajian dan menjadi imam di New Zealand,” katanya.

Suhaimi berkata, walaupun sudah beberapa tahun menetap di sana tetapi beliau sentiasa menerapkan nilai patriotik dalam jiwa anak-anak.

“Kami sekeluarga menggunakan bahasa Melayu ketika bertutur di rumah supaya identiti sebagai orang Melayu kekal terpelihara.

“Kami juga cuba pulang setahun sekali supaya jiwa berasa lebih dekat dengan Malaysia,” katanya.

Anak Malaysia kebanggaan [Dinesvaran Krishnan]

“MALAYSIA ibarat rumah saya. Walau ada rakan cadang supaya dapatkan taraf penduduk tetap (PR) di Jepun, saya tidak akan tinggalkan Malaysia, tempat saya dilahir dan dibesarkan,” kata kapten ragbi Malaysia, Dinesvaran Krishnan yang menjadi pemain kedua Malaysia beraksi di Liga Ragbi Profesional Jepun selepas Marc Lee.

Bermula dengan kelab Yamaha Jubilo pada 2013 hingga 2018, karier permainannya makin cemerlang apabila dipancing mengikat kontrak tiga tahun bersama kelab Hino Red Dolphins untuk musim ini.

Menurut Dinesvaran yang berasal dari Sungai Petani, Kedah dia bangga apabila berpeluang mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa dan bertekad untuk melakukan yang terbaik.

Katanya, bukan mudah untuk dia mendapatkan kepercayaan kelab profesional ragbi di Jepun.

“Selama setahun saya ditempatkan dalam pasukan pembangunan sebelum diserap dalam pasukan utama. Dalam pasukan pembangunan ini, latihan sangat berat, dua kali ganda daripada latihan bagi pasukan utama untuk mendapat tempat.

“Tapi hasilnya berbaloi apabila saya terpilih mewakili kelab setahun selepas itu dan beraksi untuk lima musim sehingga 2018,” katanya yang turut membantu pasukan kebangsaan dalam saingan Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2019.

Dinesvaran berkata, selama enam tahun berkelana di Jepun tahun ini kali pertama dia berpeluang menyambut Merdeka di Malaysia.

“Sebelum ini, saya hanya memuat naik status ucapan Hari Kemerdekaan di laman sosial, Twitter, Facebook dan Instagram sahaja.

“Tahun ini saya dah sampai di ibu negara sejak pagi tadi (semalam) untuk sambutan,” katanya yang akan berlepas ke Jepun semula, jam 2 petang ini.

Katanya, biarpun berada di Jepun, dia tetap mengekalkan jati diri dengan menghiasi rumah dan biliknya di Tokyo dengan Jalur Gemilang.

“Pernah juga ada rakan berseloroh dengan mengatakan, Jangan balik Malaysia, nanti aku langgar.

“Ia menjadi motivasi bagi saya supaya tidak jadikan alasan rindu keluarga, makanan dan sebagainya untuk berusaha dalam sukan ragbi, sekali gus menjaga maruah negara,” katanya.

Disiarkan pada: August 31, 2019 @ 6:00am
d