utama

8 jam rakam Takkan Merubah

Oleh Ramlah Zainal

LAGU Di Matamu dendangannya bukan sahaja mendapat tontonan paling tinggi di YouTube, malah dinobatkan Persembahan Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke 33 (AJL), Februari lalu.

Impak lagu Di Matamu sentuhan Sirkhan dan Rinkarnaen juga membawa tuah buat penyanyi sensasi Sufian Suhaimi, 27, apabila dianugerahkan Pemimpin Paling Dikagumi Di Asia 2019 dalam kategori Selebriti/Hiburan, baru-baru ini.

Acara berprestij peringkat antarabangsa itu anjuran Herald Global & ERTC Media yang berpusat di Mumbai, India.

Sufian mengakui anugerah itu menyuntik semangatnya untuk terus berkarya.

“Alhamdulillah, segala kerja keras selama ini berbaloi dan mendapat pengiktirafan pihak luar.

“Ia menjadi pemangkin semangat saya untuk terus menghasilkan karya berkualiti selepas ini,” katanya.

Terbaru, Sufian mempertaruhkan lagu duet bersama penyanyi Amira Othman berjudul Takkan Merubah ciptaan Farouk Roman dan Amylea Azizan.

“Saya terima tawaran ini kerana mahu bekerjasama dengan Amylea dan Farouk yang memiliki magis tersendiri.

“Pada masa sama, lagu duet ini juga menjadi lagu runut bunyi untuk filem Motif lakonan idola saya, Datuk Rosyam Nor dan Sharifah Amani,” katanya.

Mengenai gandingan dengan Amira pula, jelas Sufian, dia berdepan cabaran apabila proses rakaman itu mengambil masa lapan jam.

“Tahap kemampuan suara kami berbeza dan perlu mencari keserasian untuk hasilkan yang terbaik.

“Mujur Amira mudah bekerjasama dan proses rakaman juga lancar.

“Kami berbincang dan memberikan idea yang positif untuk menghasilkan melodi serta gabungan suara yang menarik,” katanya.

Bakal lancar buku puisi

Berbakat sebagai penulis puisi, Sufian bakal melancarkan buku berjudul Senanduka Sufian Suhaimi tidak lama lagi.

Menurutnya, dia sudah menyiapkan 70 puisi untuk dimuatkan dalam buku terbabit.

“Ia berkisar kehidupan saya dan perspektif berhubung pelbagai peristiwa besar yang berlaku sejak beberapa tahun lalu.

“Dari sudut peribadi dan kerjaya, ia dilihat seiring.

“Selain itu, ada cerita gembira, sedih, kecewa dan setiap detik itu, saya terjemahkan dalam bentuk puisi,” katanya.

Mengulas kerjasama dengan pihak universiti pula, Sufian berkata, ia membabitkan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Buku puisi ini dihasilkan dengan teliti kerana ia untuk rujukan akademik.

“Pihak UUM juga bakal menguruskan soal penerbitan dan pengedarannya.

“Setiap puisi dalam buku ini menggunakan judul lagu nyanyian saya termasuk ‘Terakhir 1 dan 2’, ‘Di Mata Mu 1’, ‘Harus Aku 2’ dan ‘Terasa Ada 3’,” katanya.

Disiarkan pada: September 1, 2019 @ 5:30am
d