utama

Krisis kian parah

Oleh Aida Adilah Mat

HANYA Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atau Mahkamah Timbang Tara Sukan yang boleh menyelesaikan kemelut dalaman Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berhubung Mesyuarat Agung Tahunan badan induk itu selepas proses mediasi yang diambil sebelum ini gagal.

Menerusi surat bertarikh 13 Ogos lalu, jawatankuasa mediasi ADR MPM yang diketuai Senator Bathmavathi Krishnan (pengerusi), Kolonel Md Nor Azam Ariffin dan P Krishna Muthri memaklumkan proses berkenaan tidak berhasil.

Namun, dikhabarkan ada usaha dari pihak tertentu untuk mengadakan Mesyuarat Agung Luarbiasa MPM bagi membolehkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk bertanding.

Bagaimanapun, menurut sumber, mengikut peraturan perlembagaan 26.3 MPM, EGM tidak boleh dilakukan apabila ahli gabungan memilih untuk mengadakan proses mediasi.

“Mana boleh buat EGM sebab sudah pilih mediasi. Malah, ia juga tidak mendapat sokongan majoriti ahli gabungan apabila hanya 11 persatuan bersetuju. Banyak kesilapan berlaku di dalam MPM.

“Sekarang ini, sudah kacau bilau. Banyak benda salah. Apa motif jawatankuasa MPM ini nak melakukan EGM. Mereka seperti cuba menegakkan benang yang basah, saya sendiri sudah bosan,” kata sumber berkenaan.

Jawatankuasa Mediasi ditubuhkan untuk mencari penyelesaian bagi kemelut yang dihadapi MPM berkenaan tarikh tutup pencalonan bagi memilih ahli majlis baharu pada AGM 29 Jun lalu.

Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) mengemukakan bantahan terhadap pencalonan yang diterima MPM selepas tarikh tutup.

Selepas mendengar pembentangan dan hujah kedua belah pihak, usaha mencapai jalan penyelesaian tidak berhasil dan sesi pemilihan MPM bagi penggal 2019-2023 sepatutnya berlangsung pada 29 Jun lalu namun AGM itu ditangguhkan selepas timbul isu pencalonan lewat bagi jawatan Presiden MPM oleh Khairy Jamaluddin sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati seorang lagi calon, Datuk Megat D Shahriman Zaharudin yang juga Presiden MASCA.

Disiarkan pada: September 1, 2019 @ 6:31am
d