utama

Dendam penagih dadah

Oleh Garret Dawum

DENDAM menjadi punca lelaki menetak jirannya menggunakan parang di Kampung Semilang, Kuching, semalam.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, mangsa berusia 49 tahun terburai isi perut akibat ditetak suspek berusia 32 tahun.

Sumber berkata, suspek yang ketika itu dipercayai dalam pengaruh dadah bergelut dengan mangsa sebelum menetaknya di perut.

“Suspek berdendam dengan mangsa sejak 2017 kerana mangsa dikatakan pernah melaporkan kepada polis mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah oleh suspek sehingga menyebabkan dia ditangkap.

“Nasib baik kejadian disedari penduduk kampung dan berjaya menyelamatkan mangsa daripada mengalami kecederaan lebih parah. Suspek juga cedera di kepala,” katanya kepada Harian Metro.

Mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, laporan polis dibuat abang mangsa di Balai Polis Bintawa pada jam 2.30 pagi hari sama.

“Abang mangsa menerima panggilan telefon daripada adik iparnya memaklumkan mangsa cedera di perut dan telinga kiri akibat ditetak.

“Susulan itu, abang mangsa membuat laporan polis dan suspek yang juga seorang penganggur sudah ditahan.

“Senjata yang digunakan turut dirampas dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: September 1, 2019 @ 3:03pm
d