utama

Banyak alasan!

Oleh Syazwan Msar

TEMPOH yang diberikan lebih daripada cukup, namun hampir separuh daripada 24 kelab Liga Malaysia (Liga M) gagal menghantar borang permohonan lengkap lesen kebangsaan dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi menghadapi musim 2020 selepas tarikh tutupnya kelmarin.

Antara alasan yang diberikan pasukan berkenaan ialah masih terdapat beberapa dokumen berkaitan daripada pihak ketiga dan surat perjanjian pembayaran tunggakan gaji pemain masih lagi belum selesai, sekali gus menyebabkan gagal menghantar permohonan lengkap.

Senario itu berlaku berikutan sesetengah pasukan lebih berminat menghantar borang pada saat-saat akhir atau menyelesaikan isu berbangkit berkaitan dokumen ketika tarikh tutup permohonan semakin hampir.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, sebelum ini pihaknya ada memaklumkan kepada pengurusan pasukan supaya menghantar borang permohonan sebelum tarikh tutup bagi memberi peluang kepada unit pelesenan FAM membuat semakan menyeluruh.

“Setakat hari ini (semalam), hampir separuh daripada pasukan belum lagi menghantar borang permohonan lengkap dengan rata-ratanya membabitkan kewangan dan fasiliti.

“Kelewatan ini berpunca daripada dokumen sokongan daripada pihak ketiga agak lewat selain surat penjanjian membabitkan pembayaran tunggakan gaji belum selesai,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Bagaimanapun, Stuart enggan mendedahkan nama pasukan terbabit buat masa ini.

Sebelum ini Stuart memberi peringatan pasukan bola sepak negeri supaya segera menyiapkan dokumen penting berkaitan permohonan lesen kebangsaan dan AFC bagi musim 2020 dengan kadar segera.

Untuk rekod, sebelas daripada 12 pasukan yang bertanding pada Liga Super tahun lalu lulus dalam permohonan mendapatkan lesen kebangsaan bagi membolehkan mereka beraksi dalam saingan Liga Super musim ini.

Kedah, Selangor, Johor Darul Ta’zim, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu, Melaka United dan PKNS FC lulus dalam mendapatkan lesen kebangsaan, manakala Kuala Lumpur, Pahang dan PKNP FC juga berjaya mendapatkan lesen kebangsaan tetapi dengan bersyarat.

Selain itu, Kedah, Selangor, JDT, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu, Melaka United dan PKNS turut lulus dalam permohonan mendapatkan lesen AFC bagi membolehkan mereka beraksi pada pertandingan peringkat Asia.

Enam kriteria utama perlu dipenuhi untuk mendapatkan lesen iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran kakitangan, perundangan, kewangan dan perniagaan.

Disiarkan pada: September 2, 2019 @ 6:00am
d