utama

'Budak Petai' kini penuntut USM [METROTV]

Oleh Zuhainy Zulkiffli

“SAYA datang sendiri menaiki bas tanpa ditemani keluarga kerana mahu menjimatkan wang,” kata Muhammad Izzat Amran Ibrahim, 20, yang tular menjual petai untuk mencari wang bagi mendaftarkan diri sebagai penuntut Universiti Sains Malaysia (USM).

Berasal dari Gua Musang, Kelantan, Muhammad Izzat berkata, dia tiba di Pulau Pinang, semalam dan menumpang tidur di rumah bapa saudara di Bayan Baru, dekat Georgetown.
Muhammad Izzat berkata, dia berterima kasih kepada orang ramai yang memberi sumbangan dan merealisasikan hasratnya bagi menyambung pengajian dalam dalam Ijazah Perumahan, Bangunan dan Perancangan (Teknologi Bangunan).

“Saya akan gunakan sumbangan ini dengan sebaiknya serta menganggap semua ini sebagai hikmah kepada diri dan keluarga.

“Ibu berpesan supaya belajar bersungguh-sungguh serta menjaga diri dengan baik, dan kini saya akan beri tumpuan kepada pelajaran bagi mengejar impian bergelar jurutera,” katanya kepada media,, hari ini.

Kisah Muhammad Izzat tular bulan lalu menarik perhatian ramai berikutan kekurangan wang bagi mendaftar di USM, hingga terpaksa menjual petai bersama ibunya, Zubaidah Yusoff, 46 manakala bapanya Ibrahim Ismail, 56, bekerja penoreh getah.

Berikutan mendapat liputan media, anak ketiga daripada 12 beradik itu berkata ramai yang menegurnya ketika sesi pendaftaran.

“Pada mulanya kekok juga bila dipanggil ‘budak petai’, tetapi saya anggap ia sebagai peluang bagi mendapat kenalan baharu di sini.

“Saya juga akan pertimbangkan mahu bekerja sambilan bagi menampung perbelanjaan sepanjang pengajian,” katanya.

Muhammad Izzat adalah antara 4,684 pelajar baharu yang mendaftar di USM sidang akademik 2019/2020 Saluran Kemasukan Khas yang turut berlangsung serentak di kampus Nibong Tebal dan Kubang Keriang, Kelantan.

Berita berkaitan

Alhamdulillah, wang Izzat sudah cukup

USM nafi tolak tangguh pengajian

Buntu cari duit sambung belajar

Disiarkan pada: September 2, 2019 @ 2:08pm
d