utama

Kembar 'teriak' tak pernah berpisah

Oleh Noorazura Abdul Rahman

MENANGIS selama empat hari kerana terpaksa berpisah namun tiga daripada empat kembar ini teruja apabila berjaya menyambung pelajaran di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok hari ini.

Mereka ialah Intan Nur Liyana Suhaimi, 20, (sulung) mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Kaunseling, Intan Nur Fazrina (ketiga) Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan manakala Intan Nur Syazrina (bongsu) mengambil jurusan sama dengan kakak sulungnya.

Menurut Intan Nur Liyana, seorang lagi daripada mereka iaitu Intan Nur Diyana (kedua) sudah mendaftar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau, Negeri Sembilan dalam jurusan Sarjana Muda Pengurusan Sains Maklumat dan Perpustakaan 25 Ogos lalu.

Katanya, perpisahan itu memberi kesan kepada mereka berempat berikutan tidak pernah berpisah sejak kecil.

“Apabila mengetahui hanya tiga daripada kami diterima UUM dan seorang lagi UiTM, kami sangat sedih dan menangis empat hari tapi kami pujuk antara satu sama lain demi mengejar cita-cita.

“Apabila Intan Nur Diyana mendaftar dulu, tiap-tiap malam kami membuat panggilan video supaya dapat melihat antara satu sama lain, sejak kecil dari tadika hingga sekolah menengah kami berada dalam satu kelas tapi kali ini terpaksa berpisah demi masa depan.

“Kami mempunyai minat sama daripada makanan sehinggalah aktiviti lain termasuklah cita-cita sama iaitu menjadi pensyarah,” katanya yang berasal dari Kluang, Johor.

Sementara itu, seorang gadis orang kurang upaya (OKU) lumpuh separuh badan akibat masalah tulang belakang turut bersemangat mendaftar sebagai penuntut baharu UUM hari ini.

Nur Nabilah Shaik Abdul Jalil, 20, hadir ditemani ibu bapa Shahina Begum Syed Mohamad, 48, dan Shaik Abdul Jalil Abu Tahir, 51, mendaftar dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Sistem Maklumat, UUM.

Anak sulung daripada enam beradik itu menghidap ispina befida sejak lahir dan pada usia 12 tahun keadaannya lebih teruk apabila dia terjatuh serta tidak mampu berjalan selepas pembedahan dilakukan.

“Sehingga kini saya masih menjalani rawatan fisioterapi setiap minggu, namun saya bersyukur kerana UUM membenarkan pembantu yang diupah keluarga untuk melakukan fisioterapi setiap minggu di Inapan Siswa (INASIS).

“Dalam masa sama UUM turut menyediakan pelbagai kemudahan OKU seperti saya, kemudahan ini akan memudahkan saya belajar seterusnya mengejar cita-cita sebagai pensyarah,” katanya.

Nur Nabilah yang berasal dari Jalan Stadium, Alor Setar adalah antara pelajar terbaik Kolej Tingkatan Enam Sultan Salehuddin, Alor Setar yang memperoleh Nilai Gred Purata Kumulatif (CGPA) 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Dalam pada itu, 4,856 penuntut baharu daripada 41 program pengajian sudah mendaftar di UUM bagi kemasukan sesi 2019/2020 bermula hari ini.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, semua penuntut yang diterima masuk terdiri daripada pelajar lepasan STPM, Diploma, Asasi Pengurusan UUM, matrikulasi dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“UUM turut menerima pendaftaran 313 penuntut dari luar negara termasuk 116 orang berstatus mobiliti.

“Daripada keseluruhan penuntut baharu, 15 adalah OKU, kita menyediakan kemudahan dan kelengkapan untuk mereka di INASIS termasuk van khas bagi memudahkan mereka ke kuliah,” katanya.

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 1:56pm
d