utama

'Pertemuan terakhir semalam' [METROTV]

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

“SEMALAM, arwah (Muhd Ridzo) dan keluarga sempat menziarahi saya di Sungai Baru Gunung, Alor Setar sebelum bergerak ke rumah isterinya di Tanah Merah, Jitra.

“Saya tak sangka pertemuan itu kali terakhir buat kami sebelum saya diberitahu ahli keluarga arwah terbabit kemalangan yang mengorbankan nyawanya dan anak lelakinya,” kata Rosely Marzuki, 65.

Rosely adalah bapa kepada Muhd Ridzo Fadzly, 37, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 9.2 Lebuhraya Kuala Lumpur- Kuala Selangor (LATAR) menghala ke Kuala Lumpur, dekat Kuala Selangor, malam tadi.

Dalam kejadian 11.50 malam itu, anak lelaki Muhd Ridzo, Ahmad Ariffin, dua tahun turut maut manakala isterinya, Ku Nurul Amirah Ku Fazli, 33, parah dan seorang lagi anak mereka, Danish, dua tahun, cedera.

Kemalangan berlaku selepas Proton Persona dipandu Muhd Ridzo hilang kawalan sebelum melanggar belakang sebuah treler dan terbakar.

Difahamkan, keluarga itu dalam perjalanan pulang ke Bandar Tasik Puteri, Rawang selepas bercuti di kampung sempena Hari Kemerdekaan.

Rosely berkata, dia menerima berita mengenai kemalangan itu daripada ahli keluarga pada 2.30 pagi tadi.

Menurutnya, menjadi amalan Muhd Ridzo menziarahi kedua-dua keluarga setiap kali pulang ke Kedah.

Katanya, dia berjumpa anak dan keluarganya 12 tengah hari semalam sebelum mereka ke rumah mentua dan pulang ke Rawang 3 petang hari sama.

“Arwah tidak menunjukkan apa-apa perubahan, saya sempat bersalam dan berpesan padanya berehat jika mengantuk ketika memandu.

“Sepanjang hayat, arwah dikenali orang kampung, mesra dengan jiran dan rakan, tidak pernah marah dan peramah,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tanjong Karang (HTK) hari ini.

Sementara itu, rakan sekerja Muhd Ridzo, Ng Cheng Lim, 56, berkata, dia kehilangan rakan yang tegas dan komited dalam menjalankan tugas.

“Sepanjang sembilan tahun mengenali arwah, dia mudah berdamping dengan rakan sekerja, lembut ketika berbicara dan tidak banyak kerenah.

“Arwah contoh pekerja yang berdedikasi, tak sangka ajalnya sampai dulu,” katanya.

Menurut Cheng Lim, Muhd Ridzo sepatutnya menghantar barang syarikat di Subang hari ini namun hasrat itu tidak kesampaian. Jenazah Muhd Ridzo dan Ahmad Ariffin akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Baru Gunung, Alor Setar manakala Ku Nurul Amirah masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh (HSB).

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Md Asri A Wahab berkata, siasatan mendapati Proton Persona dipandu Muhd Ridzo hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar belakang treler.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila kereta itu dari arah Kedah menghala ke Kuala Lumpur.

“Muhd Ridzo serta anak lelakinya yang berada di tempat duduk hadapan tersepit dan gagal dibawa keluar sebelum kereta terbabit terbakar.

“Kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita berkaitan

Ajal dua beranak

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 3:23pm
d