utama

Asif kekal berlakon drama spontan

Oleh Nor Amalina Alias

PERSELISIHAN faham membabitkan Youtuber, Syahmi Sazli dan keluarga remaja autisme Muhammad Asyiff Suhaimi selesai selepas kedua-dua pihak bertemu mata semalam.

Kakak remaja berkenaan, Siti Nurul Atina Suhaimi, 30, berkata, pihaknya mengadakan perbincangan dengan Syahmi jam 3 petang semalam dan sudah mencapai kata sepakat.

Katanya, selepas perbincangan diadakan barulah kedua pihak dapat mengenal pasti punca perselisihan faham antara keluarganya dan produksi berkenaan.

“Timbul salah faham berkaitan soal pembayaran gaji Asif dan kebajikan Asif namun kami capai kata sepakat dengan membuat kontrak selepas ini.

“Manakala, pihak yang bermasalah sebelum ini juga kita sudah keluarkan supaya jangan campur tangan dalam hal kerjaya Asif. Selepas ini Syahmi dan saya sendiri akan tentukan,” katanya ketika ditemui di Kampung Kubang Batang, hari ini.

Atina berkata, keluarganya dan Syahmi kini sudah berdamai dan Asif akan kekal berlakon dalam drama spontan oleh Syahmi Sazli Production.

Dalam perkembangan berkaitan, Atina turut memohon orang ramai tidak salah faham dengannya kerana sebelum ini dia sudah lama menyara Asif dan keluarga biarpun berlainan ibu.

“Sebelum ini saya tidak bersama Asif kerana ada ahli keluarga lain yang menjaga hal kerjayanya, bila timbul masalah, sebagai kakak sulung, saya cuba bantu kerana rapat dengan Asif namun disalah anggap sebagai mengambil kesempatan bila adik (Asif) popular.

“Bagaimanapun saya anggap masalah ini sudah selesai dan ada hikmahnya dan keluarga juga berterima kasih kepada Syahmi kerana banyak membantu Asif yang dulunya pendiam dan tidak bergaul dengan orang kini lebih berkeyakinan di depan orang ramai,” katanya.

Isu berkenaan mula timbul sejak beberapa hari lalu selepas Siti Nur Atina mengeluarkan beberapa kenyataan di Instagram berkaitan hak adiknya.

Kenyataan itu mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk Syahmi dan warganet.

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 7:13pm
d