utama

Hantaran cuma RM500 je...

Oleh Alias Abd Rani

“SEBENARNYA saya tidak mahu duit hantaran, tapi suami tetap mahu berikan. Jadi, dia berikan RM500.

“Menerusi duit itu, saya beli baju RM150, buat kenduri doa selamat, bayar kadi dan buat benda lain,” kata Siti Rozyainie Rozine, 26.

Dia menjadi perhatian netizen sejak akhir-akhir ini susulan tular gambar perkahwinan pada 2018 yang berlangsung secara ringkas tanpa hiasan pelamin, tiada makan beradab, khemah serta kompang seperti dilakukan pasangan pengantin lain.

Menurutnya, dia memilih pendekatan itu bukan disebabkan tiada duit, sebaliknya memikirkan masa depan sebaik mendirikan rumah tangga dengan Mohd Hafiz Khodir, 26, yang sudah tentu memerlukan perbelanjaan besar.

“Kami memang hendak buat majlis ringkas seperti ini, kalau orang kata tiada duit, tidaklah sampai tahap ini. Tipulah kalau kami kata tiada duit sebab masa ini, kami sudah bekerja.

“Tapi duit itu banyak lagi benda boleh buat selepas kahwin dan komitmen lain. Kami sudah maklum awal-awal pada suami tidak mahu hantaran, tapi dia tetap bagi RM500,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Dia berasal dari Perlis manakala suami dari Johor kini bahagia selepas dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Safiya Zahra Mohd Hafiz berusia sembilan bulan.

Siti Rozyainie memuat naik status itu dalam Facebook miliknya untuk mengimbas kembali detik bersejarah ketika bergelar raja sehari.

Antaranya: “Tiada pelamin, tiada jurugambar profesional, tiada photoshoot, tiada kompang, tiada orang bersilat, tiada acara sambut pengantin, tiada dj radio, tiada makan beradab, tiada acara potong kek, tiada gadis-gadis dulang hantaran, tiada bridesmaid, tiada kasut pengantin (yang ni lawak), tiada crown, tiada tengkolok, keris pisau pedang kapak, tiada honeymoon.”

Paling tersentuh pada majlis itu ialah ketiadaan kedua-dua ibu bapa dan yang ada hanya adik beradik, sahabat, jiran, guru, ibu saudara serta ahli keluarga pihak lelaki.

Mas kahwin pula berupa sebentuk cincin emas dan majlis itu lebih kepada doa selamat.

Katanya, dia bersyukur kerana suami memilihnya menjadi suri hati dan menerima segala kekurangan untuk dijadikan sebagai kelebihan dalam hidup.

“Sekarang ini zaman globalisasi dan semua memerlukan duit. Kami pernah merasai kesusahan sewaktu menuntut di USM (Universiti Sains Malaysia) Pulau Pinang jadi ia menjadikan kami lebih berdikari.

“Jadi, saya tidak kisah jika orang lain berkahwin macam mana sekalipun, majlis besar, hantaran tinggi dan sebagainya. Tapi bagi saya, hormatilah setiap cara orang untuk mengurus kehidupan sendiri.

“Jangan disebabkan kita mampu dalam segala hal, kira selalu memandang rendah terhadap orang biasa,” kata anak sulung daripada tujuh beradik.

Disiarkan pada: September 3, 2019 @ 9:40pm
d