utama

'Jumpa hari ini'

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) akan hadir menemuinya hari ini bagi membincangkan isu pembatalan pendaftaran Dong Zong Johor.

Menurutnya, beliau akan menjemput Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dalam pertemuan itu bagi melihat apa yang boleh dilakukan terhadap isu berkenaan.

“Mereka akan berjumpa dengan saya esok (hari ini). Nanti saya akan dengar apa sebabnya. Ini bukan masalah apa, ini masalah pengurusan.

“Saya difahamkan, (ia membabitkan) salah sebuah persatuan ibu bapa yang bergabung di bawah Dong Zong. Kerana mereka tidak mematuhi peraturan pendaftar pertubuhan,” katanya pada sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), semalam.

Sebelum ini, Dong Zong mengemukakan rayuan kepada KDN berhubung pembatalan pendaftaran Dong Zong Johor oleh ROS.

Surat pembatalan bertarikh 8 Ogos daripada Pengarah ROS Johor itu dikeluarkan dengan alasan ROS tidak menerima sebarang penjelasan mengenai pindaan perlembagaan persatuan berkaitan pembabitan guru.

Susulan itu, ROS memaklumkan rayuan boleh dibuat kepada KDN dalam tempoh 30 hari dari tarikh surat.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, beliau ambil maklum mengenai kehadiran pendakwah bebas, Dr Zakir Naik pada satu program di Masjid Cina, Krubong, Melaka,
Sabtu lalu.

“Saya sudah dimaklumkan dan diberitahu yang dia (Dr Zakir) ada di sana untuk bersolat. Dia (Dr Zakir) juga tidak berucap dengan jemaah di sana, sebaliknya hanya hadir bersolat.

“Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah sudah memaklumkan perkara itu dan dengan asas itu, dia (Dr Zakir) dibenarkan terbabit dalam program itu,” katanya.

Disiarkan pada: September 4, 2019 @ 5:40am
d