utama

Pandai Cikgu Safwan berlakon

Oleh Redzuan Muharam

“SAYA selitkan elemen seni persembahan dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) bagi memberi kefahaman kepada pelajar selain terapi menghiburkan diri sendiri yang mengalami masalah kemurungan,” kata Mohamad Safwan Zulqarnain, 27.

Mohamad Safwan adalah guru sandaran di sebuah sekolah menengah di Johor Bahru yang mencuri perhatian warganet kerana kreativitinya mengajar subjek Sejarah.

Kesungguhannya ketika mengajar dapat dilihat menerusi kostum yang digayakan di dalam kelas yang dihasilkan sendiri dengan bantuan ibunya, Suriyatina Che Hat.

“Sebenarnya, saya memang minat berlakon cuma tiada rezeki menceburi bidang lakonan.

“Jadi, saya salurkan minat itu ketika sesi P&P dan tujuannya adalah bagi memberi gambaran sebenar kepada pelajar dan pengalaman seperti berada di zaman itu.

“Sudah lama saya menggunakan pendekatan ini dan Alhamdulillah, pelajar dapat menerima cara pengajaran saya begitu juga dengan guru dan pengurusan sekolah.

“Kostum dipakai dan karakter dibawakan bergantung kepada watak dalam topik yang diajar,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohamad Safwan berkata, selain menonjolkan kreativiti yang ada, pendekatan itu juga bertujuan menarik minat pelajar datang kelasnya.

Katanya, kaedah itu juga diaplikasikan bagi mendapat kepuasan ketika mengajar di dalam kelas.

“Setiap guru tentunya mengharap murid dan pelajar mendapat keputusan cemerlang begitu juga saya.

“Namun itu adalah bonus dan apa yang lebih penting adalah perjalanan bersama pelajar ketika di dalam kelas.

“Sebab itu, saya jadikan seni persembahan lakonan sebagai tarikan supaya wujud interaksi dua hala dengan mereka (pelajar),” katanya yang turut mengajar subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Di samping mendidik pelajar, kaedah pengajaran itu juga menjadi salah satu caranya mengatasi masalah kemurungan.

“Saya mengalami kemurungan sejak di bangku sekolah kerana sering dibuli.

“Kemurungan itu bertambah serius selepas ayah meninggal dunia namun terkawal selepas saya dibawa bertemu dengan pakar dan kini bertambah baik sejak menjadi guru,” katanya.

Disiarkan pada: September 4, 2019 @ 9:10pm
d