utama

'Jagalah anak di majlis orang...'

Oleh Alias Abd Rani

“MUJURLAH pada waktu kejadian pengantin sudah melalui kawasan itu dan sudah berada atas pelamin.

“Jika tidak, saya pun tidak tahu apa hendak dikatakan,” kata perancang perkahwinan, Fauzi Manan, 33, selepas beberapa dekorasi kayu dipasang di laluan pengantin tumbang pada 25 Ogos lalu.

Kejadian berlaku di hotel di Kuala Lumpur dan sebelum itu, seorang kanak-kanak yang hadir pada majlis berkenaan dilihat bergayut pada dekorasi terbabit sebelum ia tumbang.

Susulan kejadian itu, majlis perkahwinan itu kecoh seketika sebelum gambar terbabit dimuat naik dan tular di media sosial.

“Dekorasi itu dipasang pada 13 Julai lalu dan lebih 10 pasangan pengantin serta 14,000 tetamu sudah melalui bahagian bawahnya.

“Pada hari terbabit, ia digunakan pasangan pengantin itu dan mereka bernasib baik kerana sudah melepasi dekorasi itu sebelum kejadian itu berlaku.

“Waktu itu, saya tidak berada di lokasi kerana bercuti sebelum dimaklumkan petugas kami,” katanya ketika dihubungi.

Fauzi berkata, selepas gambar terbabit dimuat naik, ada pihak mempersoalkan kaedah pemasangan dekorasi itu yang dianggap tidak kukuh.

“Takkanlah saya nak bina konkrit untuk buat dekorasi ini. Lagipun ia hanya sementara dan pengantin mengadakan majlis raja sehari selalu menggunakannya.

“Sebanyak enam dekorasi dibina pada ketika itu, tetapi bahagian kelima tumbang dan mengenai yang lain. Kami kemudian membersihkan lokasi terbabit dengan membawa barangan itu ke tepi.

“Saya bersyukur kerana kejadian itu tidak membabitkan kemalangan atau kecederaan.

“Kita tidak boleh menyalahkan tuan rumah, namun kita sebagai ibu bapa, perlulah menjaga anak jika hadir mana-mana majlis.

“Saya memuat naik gambar ini sekadar untuk menasihatkan ibu bapa supaya berhati-hati. Saya tidak kisah walaupun terpaksa menanggung kerugian RM4,000,” katanya.

Sebelum ini, Fauzi memuat naik gambar dan status mengenai dekorasi miliknya tumbang di Instagram sambil menasihatkan ibu bapa agar tidak membiarkan anak mereka bermain berhampiran hiasan terbabit.

Dalam status dimuat naik itu, Fauzi menulis, “Masih tak paham dengan sesetengah parent yang biar anak2 main tak tentu hala.

“Tempat yang patut tak main pun biar je anak main depan mata. Saya mungkin tak paham sebab masih tak ada anak tapi tu lah..rasanya before kejadian ni dah hampir 10 WEDDING PUN pakai benda yang sama dan decor ni memang permanent dekat dewan tu.

“Kalau kejadian macam ni dekat siapa kita tak minta ganti rugi? Confius confius! Last2 mesti salahkan decorator balik sebab buat tak kukuh, tapi kalau dah bergayut kat tali tu smpai prop tu boleh jatuh nak buat mcm mana? Nak pasang cerucuk besi ke kat bawah tu?”

Katanya lagi, perkara sama pernah berlaku sebelum ini namun tidak seperti yang dialami baru-baru ini.

“Tapi kejadian itu hanya membabitkan pasu bunga terjatuh tetapi tidak pecah. Dalam hal ini, dekorasi itu dipasang pada satu-satu masa dan akan diubah apa sudah tiba masanya,” katanya yang sembilan tahun berkecimpung dalam bidang ini.

Disiarkan pada: September 4, 2019 @ 9:55pm
d