utama

Masih seperti bayi...

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

USIANYA sudah 21 tahun, namun pemuda yang mempunyai berat 25 kilogram (kg) ini perlu diuruskan seperti seorang bayi kerana Cerebral Palsy (CP).

Menurut ibunya, Masni Muhammad, 43, anak sulungnya daripada empat beradik, Muhamad Aiman Asyraf Ramli, disahkan menghidap CP ketika berusia dua tahun.

Katanya, anaknya itu dilahirkan normal, namun ketika berusia 20 hari, doktor memberitahu anaknya itu mungkin mempunyai simptom CP selepas melihat perubahan pada diri Aiman selain tidak boleh merangkak serta meniarap ketika usianya enam bulan.

“Dalam masa sama, Aiman juga kerap diserang sawan terutama ketika tidur menyebabkan dia mengalami kekejangan otot yang serius sehingga kedua-dua kakinya akan berada dalam keadaan bersilang sepanjang masa.

“Bukan itu sahaja, anak saya juga tidak boleh bercakap serta berjalan dan hanya boleh mengesot untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Gading Galuh, Pulai Chondong, di Machang, baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun keadaan Aiman berbeza dengan tiga adiknya yang lain, namun dia dan suami, Ramli Ismail, 49, tidak pernah membezakan kasih sayang antara mereka kerana ia ketentuan daripada Allah SWT yang mengurniakan seorang anak orang kurang upaya (OKU).

Masni berkata, disebabkan Aiman yang semakin membesar dan masalah pengangkutan menyebabkan dia terpaksa menghentikan rawatan fisioterapi anaknya di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, sejak lima tahun lalu.

“Sebelum ini saya mengusahakan gerai ‘mi celup’ bersebelahan rumah terpakspa menutup pada pertengahan tahun ini kerana mahu memberi sepenuh perhatian kepada Aiman.

“Kini segala perbelanjaan Aiman dan tiga anak yang masih bersekolah berusia antara 10 hingga 18 tahun ditanggung suami yang hanya bekerja sebagai penjaga stor di sebuah syarikat dengan pendapatan RM1,700 sebulan,” katanya.

Katanya, bagi menampung perbelanjaan Aiman, setiap bulan dia perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM500 untuk membeli keperluannya termasuk lampin pakai buang dan susu formula khas yang berharga RM88 setin yang hanya bertahan untuk tempoh 15 hari.

“Setiap hari saya perlu memberi Aiman minum susu enam kali sehari setiap tiga jam sekali.

“Mujurlah Aiman mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung,” katanya.

Orang ramai yang ini menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), 03119-29-00018336-3 atas nama Masni Muhammad atau boleh menghubungi Masni di talian 011-3179 4901.

Disiarkan pada: September 5, 2019 @ 1:01pm
d