utama

Kasih doktor hingga ke liang lahad

Oleh Alias Abd Rani

MEREKA tidak memiliki tali persaudaraan, apatah lagi mengenali antara satu sama lain, namun seorang doktor berhati mulia apabila bukan sahaja menjaga, malah membantu mengebumikan jenazah pesakit di Kampung Jerung Surau di Marang, Terengganu, baru-baru ini.

Dr Bazil Azli antara doktor ditugaskan menjaga Allahyarham Alif Fikri Abd Rahim, 14, di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu kerana menghidap jangkitan kuman pada injap jantung sebelum remaja terbabit menghembus nafas terakhir pada 3.30 pagi, 3 September lalu.

Pada mulanya, kedatangan pemuda berbaju kemeja T pada hari pengebumian tidak disedari ahli keluarga arwah yang juga pelajar tahfiz Madrasah Darul Ansor Kampung Kenanga Wakaf Tapai, Marang ketika upacara mandi jenazah hingga selesai dikebumikan.

Menurut Dr Bazil, dia menghadiri majlis pengebumian itu kerana menganggap pesakit itu sebahagian daripada ahli keluarganya.

“Saya anggap Alif seperti adik saya, jadi mengambil kesempatan menziarahinya. Ini kali pertama saya menziarahi pesakit yang meninggal dunia.

“Kami ada jadual untuk menjaga pesakit di CCU (Unit Rawatan Koronari).

“Kebetulan pada minggu itu giliran saya menjaganya, sebelum dia meninggalkan kami,” katanya.

Sementara itu, bapa saudara arwah, Hanapi Jusoh, 34, berkata, pada awalnya dia dan ahli keluarga menyangka pemuda itu adalah guru agama arwah yang datang menziarahi.
Menurutnya, mereka nampak lelaki itu berdiri dalam rumah dengan mulut terkumat-kamit membaca ayat suci untuk arwah.

Katanya, mereka tidak peduli ketika itu hingga jenazah selesai dimandikan dan dibawa ke tanah perkuburan.

“Apabila tiba di tanah perkuburan, pemuda itu masih kelihatan dan ketika jenazah dimasukkan ke liang lahad, kami melihat dia memegang cangkul dan menolak tanah.

“Waktu itu, kami tertanya-tanya siapa lelaki itu sehinggalah selesai majlis pengebumian, bapa arwah Abd Rahim Abas, 50, mendekatinya.

“Dari situlah kami dapat tahu dialah doktor yang merawat sepanjang arwah terlantar di HSNZ.

“Pada mulanya, ayah arwah yang juga abang ipar saya ingatkan doktor itu kawan arwah. Dia memberitahu, dia datang ke sini berdasarkan alamat pada rekod perubatan arwah.

“Paling terharu apabila doktor itu minta maaf berkali-kali dan berkata, dia sudah melakukan yang terbaik tetapi Allah lebih sayangkan arwah.

“Mendengar apa diungkapkan itu, bapa arwah berpelukan sambil menitis air mata. Suasana ini membuatkan ramai yang hadir tersentuh.

“Sebelum meninggalkan tanah perkuburan, doktor ini turut sumbangan dan berkata, ‘terima kasih banyak kerana mendidik Alif selama ini,” katanya.

Disiarkan pada: September 5, 2019 @ 9:54pm
d