utama

Kehebatan menembak tiada tandingan [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Kehebatan dan kemahiran menembak Pegawai Komando 11 Rejimen Grup Gerak Khas (GGK), Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya diakui tiada tandingan sekali gus disifatkan kehilangan besar kepada negara.

Bekas Jurulatih Kanan Pertempuran Jarak Dekat (CQB), Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak), Staf Sarjan (B) Mohamad Yaakob, 51, berkata Mohd Zahir juga ditauliahkan sebagai pelatih terbaik ketika latihan diadakan.

“Saya melatih arwah pada 2003 ketika dia mengikuti kursus kepakaran Grup Gerak Khas (CQB/penembak tepat/amfibia).

“Pada peringkat awal, arwah hanya mengetahui sedikit saja mengenai pengendalian senjata terutama pistol, namun komitmen yang tinggi ditunjukkan arwah menyebabkan saya menurunkan ilmu kepadanya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohamad berkata, arwah sangat berkemahiran tinggi terutama dalam penggunaan pistol jenis Glock dan seorang penembak tepat.

“Arwah pernah mencabar saya untuk menembak plat pada jarak 50 meter. Ketika itu saya cuba dan plat tidak jatuh, tetapi arwah berjaya menjatuhkan plat.

“Dia juga menunjukkan keberanian ketika latihan dan memiliki komitmen tinggi dalam mengendalikan senjata,” katanya.

Menurutnya, dia yang sudah melatih lebih 2,000 pegawai dan anggota komando mengakui kemahiran dimiliki arwah sukar ditandingi.

“Sepanjang berada dalam dunia kejurulatihan, saya tidak pernah jumpa penembak tepat seperti arwah.

“Saya terkejut dan sedih apabila mengetahui kejadian yang menimpa arwah, semalam (kelmarin). Pemergiannya adalah kehilangan terbesar buat pegawai komando,” katanya.

Sementara itu, rakan Allahyarham iaitu Nordiana Abdul Hamid, 34, berkata, Mohd Zahir dianggap seorang yang patriotik sejak menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Katanya, Allahyarham mengikuti pengajian Diploma Seni Persembahan di UiTM dan aktif sebagai Komander Kesatria sekali gus seorang yang tegas ketika di padang kawad.

“Saya tak sangka Allahyarham akan menjadi seorang anggota tentera yang hebat dan ramai menyangka dia akan aktif dalam bidang seni seperti bapanya.

“Dia menyertai kesatria bukan sekadar untuk memenuhi syarat bagi memenuhi jam kredit subjek ko-kurikulum, tetapi atas dasar minat.

“Allahyarham mengikuti Latihan Intensif Bakal Komander (LIBK) pengambilan ke-32 di UiTM Segamat. Meskipun anak kepada pelakon terkenal, Allahyarham tidak mahu menggunakan kelebihan itu dan lebih selesa dikenali sebagai dirinya,” katanya.

Disiarkan pada: September 6, 2019 @ 5:40am
d