utama

13 tahun tunggu bekas isteri [METROTV]

Oleh Nur Lela Zulkipli

SELEPAS 13 tahun berpisah, pasangan petani, Shamsuddin Kasdi dan Mawarniza Tukiman disatukan semula pada majlis perkahwinan beramai-ramai hari ini.

Shamsuddin, 57, dan Mawarniza, 51, antara 44 pasangan yang dinikahkan di Masjid Puncak Alam, Kuala Selangor.

Menurut Shamsuddin, dia sangat berharap dapat disatukan semula dengan isteri yang dikahwini pada 2001 berikutan perasaan sayang masih menebal terhadap wanita itu sejak sekian lama.

“Saya tunggu isteri selama 13 tahun untuk dia bersedia berkahwin semula.

“Alhamdulillah, doa saya akhirnya dimakbulkan apabila isteri bersetuju bersatu semula tahun ini.

“Bagi perkahwinan kali ini, saya nekad untuk buat sehabis baik supaya hubungan kami lebih harmoni dan bahagia hingga ke akhir hayat,” katanya yang turut ditemani dua anaknya ketika ditemui hari ini.

Program majlis perkahwinan beramai-ramai anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu membabitkan penyertaan pasangan pengantin dari tiga daerah iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Klang.

Turut hadir Timbalan Pengarah Operasi JAIS, Salwana Ahmad Dahlan dan Pengerusi Lembaga Tadbir Masjid Puncak Alam, Tan Sri Rozali Ismail.

Sementara itu, bagi pasangan muda, Danial Ashraff Mohd Sabri, 22, dan Siti Nur Zulaikha Zefri, 20, majlis perkahwinan beramai-ramai yang dianjurkan adalah platform baik bagi mereka yang belum berkemampuan.

Menurut Danial, dia dan isteri baru saja bekerja dan masih mengumpul wang untuk mengadakan belanja kahwin namun semuanya umpama dipermudahkan apabila terdapat kenalan memaklumkan mengenai majlis perkahwinan beramai-ramai itu.

“Saya dan isteri berkenalan dua tahun lalu dan membuat keputusan untuk bernikah bagi mengelak fitnah memandangkan kami sering berjumpa.

“Kedua-dua keluarga juga sangat menyokong keputusan kami dan niat saya memperisterikan Siti Nur Zulaikha dipermudahkan,” katanya.

Program kahwin beramai-ramai itu dapat membantu pasangan mendirikan rumah tangga tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan besar hingga membebankan mereka.

Setiap pasangan hanya perlu membayar RM1,000 kepada JAIS dan semua kelengkapan seperti pakaian termasuk jamuan untuk ahli keluarga disediakan.

Disiarkan pada: September 7, 2019 @ 1:05pm
d