utama

Comelnya Afina bermain dengan kerbau [METROTV]

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

BIARPUN usianya hanya lima tahun, namun kepetahan berbicara membolehkannya mengawal 17 kerbau di ladang milik datuknya di FELDA Lepar Hilir 2, Gambang di Kuantan, seperti pengembala berpengalaman.

Afina Aqila Azman, 5, mula dibawa bapanya ke kandang ternakan kerbau sejak kecil sebelum menunjukkan minat bermain dan bermesra dengan haiwan itu pada usia tiga tahun.

Menurut bapanya, Azman Umar, 28, anak tunggalnya sering dibawa ke kawasan kandang pada sebelah petang selepas menghabiskan sesi pembelajaran prasekolah.

Katanya, Afina yang mesra dipanggil ‘Che Tam’ oleh keluarga akan mengajaknya ke kandang kerbau setiap hari bagi bermain dan menghambat kerbau ternakan mereka pulang ke kandang.

“Pada usia tiga tahun dia dah tunjuk minat dengan kerbau dan sering berkomunikasi dengan haiwan itu. Kini dia sudah mempunyai keberanian untuk tunggang di belakang kerbau dan cekap menghambat semua kerbau masuk ke kandang.

“Afina mempunyai dua kerbau kesayangan iaitu kerbau betina yang diberi nama Atan dan Zack. Setiap hari dia akan menunggang Atan dan menyuruh haiwan itu membawanya menyusuri kawasan ladang kelapa sawit,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Azman yang juga peneroka FELDA, turut berkongsi kebimbangan pada mula anaknya bermain dengan kerbau kerana bimbang haiwan ternakannya akan bertindak agresif terhadap Afina.

Bagaimanapun, katanya, semua kerbau yang dibela tidak bertindak agresif sebaliknya akan bermanja dan menunjukkan reaksi positif sekiranya melihat kelibat Afina di ladang sawit.

Kisah Afina mula tular di media sosial baru-baru ini apabila beberapa video dimuat naik Azman ke laman sosial Facebook (FB) menunjukkan telatah anak perempuannya yang sedang menghambat kerbau kembali ke kandang sambil menunggang haiwan itu.

Dalam video berdurasi 40 saat itu memaparkan Afina berbaju kurung sedang memberi arahan kepada beberapa kerbau dengan menjerit ‘balik’ beberapa kali sebelum menarik perhatian warganet yang menyifatkan kanak-kanak itu mempunyai keberanian.

Hingga kini video itu mendapat lebih 1800 perkongsian di FB.

Situasi Afina ini juga mirip kepada aksi Mohd Syukur Khamis, 14, di Kuala Terengganu yang mana kisahnya membela kerbau ternakan bapanya menarik perhatian masyarakat.

Sementara itu, Azman berkata, keakraban anaknya dengan kerbau ternakan mereka tidak mengganggu sikapnya di sekolah.

Katanya, pada masa ini dia tidak mempunyai niat untuk menjual semua kerbau itu dan ia lebih kepada hobi dan minat.

“Afina sangat sayangkan kerbau ini terutama Atan dan Zack, dia sudah beritahu supaya jangan jual kerbau dia,” katanya.

Disiarkan pada: September 7, 2019 @ 5:02pm
d