utama

22 pengikut Syiah ditahan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

PENGERUSI Syiah Malaysia, Kamil Zuhairi Abdul Azizi antara 22 pengikut ajaran itu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah markas Hauzah ar-Ridha di Taman Sri Gombak, Gombak, malam tadi.

Serbuan dijalankan 9.55 malam itu selepas JAIS menerima maklumat mereka berkumpul bagi memperingati Pertempuran Karbala menjelang Hari Ashura Isnin ini.

Timbalan Pengarah (Pengurusan) JAIS, Azlinda Azman berkata, pihaknya melakukan serbuan selepas menerima aduan orang awam berkaitan aktiviti dilakukan penganut Syiah di Gombak.

Menurutnya, hasil risikan dilakukan mendapati ada perjumpaan dalam kalangan mereka yang turut dihadiri Kamil Zuhairi dan beberapa orang disyaki pengikut Syiah.

“Tangkapan dilakukan JAIS mengikut Seksyen 12(c), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tidak lebih tempoh dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Semasa tangkapan dibuat terdapat beberapa sitaan dilakukan seperti kain rentang, batu karbala, bingkai gambar, kitab dan buku berkaitan ajaran Syiah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Azlinda berkata, Kamil Zuhairi dan 21 pengikutnya kemudian dibawa Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Gombak untuk tindakan selanjutnya.

“Tindakan dilakukan JAIS adalah bertepatan dengan fatwa yang diwartakan pada 17 Oktober 2013 oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bahawa fahaman dan ajaran Syiah bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

“Salah satu ajaran mereka ini adalah menolak Ijmak Ulama, menetapkan Islam bukan syarat wajib haji dan pelbagai lagi yang boleh mengancam bahaya kepada umat Islam dan menyebabkan perpecahan Ummah,” katanya.

Beliau berkata, justeru selari dengan teks khutbah Jumaat yang dibacakan di Selangor semalam, pihak JAIS meminta umat Islam terutama di negeri ini menolak ajaran sesat ini sekeras-kerasnya kerana ia membawa umat Islam ke arah kesesatan.

“Pihak JAIS akan terus memantau kegiatan penganut ajaran ini untuk memastikan tiada aktiviti berkaitan Syiah di negeri ini terutama berkaitan majlis hari Karbala yang disambut setiap 10 Muharam.

“Kita juga tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap penganut Syiah dan memohon kerjasama daripada orang ramai memaklumkan sebarang aktiviti yang mencurigakan berkaitan kesalahan jenayah syariah ke talian Hotline 1800882424,” katanya.

Disiarkan pada: September 7, 2019 @ 5:41pm
d