utama

Jaga nilai eksklusif

Oleh Ardini Sophia Sina

JARANG kelihatan di kaca TV bukan bermakna pelakon itu sudah tidak aktif berlakon.

Bagaimanapun, kadang-kadang ‘kehilangan’ itu salah satu cara menjaga nilai eksklusif diri serta strategi untuk kekal relevan dalam industri seni.

Pelakon Singapura yang mencipta nama di sini, Hisyam Hamid sudah lebih setahun tidak muncul dalam sebarang drama atau telefilem.

Bukannya tiada tawaran, tetapi semuanya ditolak kerana enggan terlalu bergantung dengan populariti menerusi drama atau telefilem.

“Memang saya rancang seperti itu. Saya mahu orang rindu dan tertanya-tanya di mana saya menghilang.

“Jadi, apabila ada yang bertanya di media sosial, saya rasa strategi itu menjadi.

“Sudah setahun saya tidak berlakon drama walaupun ada tawaran kerana ingin fokus kepada bidang perfileman,” katanya.

Walaupun baru lima tahun bergelar pelakon di Malaysia, Hisyam berasakan sudah tiba masanya untuk memperlahankan sedikit langkah di TV.

Sebagai pelakon, kepuasan dan impian tidak hanya terhad kepada drama dan telefilem semata-mata, tetapi pastinya setiap pelakon ingin mewarnakan perjalanan seni dengan pelbagai projek.

“Mungkin ada yang kata lima tahun itu masih baru tetapi, saya rasa sudah tiba masa untuk kurangkan kekerapan muncul di TV.

“Sebenarnya cara yang saya pilih ini membantu juga sebenarnya.

“Sebagai pelakon, saya ingin pegang watak berbeza.

“Saya kerap diberikan watak sama dan jika ada projek baru, saya mahukan sesuatu yang berbeza dan penonton dapat melihat sisi lain saya,” katanya.

Jelas Hisyam, penonton pada masa kini pantas melontarkan pendapat apabila mereka rasakan pelakon itu membosankan kerana sering melakonkan watak atau berlakon dalam genre sama.

Berkongsi mengenai filem, katanya, dia gembira dan terharu apabila dua filem lakonannya iaitu Hero: Jangan Bikin Panas dan Dendam Pontianak bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Walaupun sudah lama bergelar pelakon, masih berdebar menantikan maklum balas penonton.

Sama ada komen positif mahukan kritikan pedas, akan dijadikan azimat memperbaiki lakonannya.

“Menerusi Dendam Pontianak, saya bawakan watak lain daripada selalu penonton lihat dan karakter itu juga berbeza dengan diri sendiri di dunia realiti.

“Manakala untuk filem Hero: Jangan Bikin Panas saya pegang watak anggota bomba.

“Sudah pasti pengalaman bekerja dalam unit beruniform itu saya gunakan untuk filem ini.

“Syukur dengan perjalanan seni saya sekarang ini. Semuanya berjalan lancar.

“Apa yang perlu saya buat memastikan nama terus kekal relevan dalam bidang lakonan,” katanya.

Disiarkan pada: September 8, 2019 @ 5:31am
d