utama

'Jangan takut datang Malaysia'

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

BEBERAPA kelab penyokong bola sepak tempatan berikrar tidak akan membalas perbuatan penyokong Indonesia ke atas peminat setia Malaysia pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta, Khamis lalu.

Sebaliknya, mereka berjanji memberi layanan mesra dan mengalu-alukan kehadiran penyokong lawan pada aksi kedua-dua pasukan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 19 November depan.

Pengerusi Kelab Penyokong Bolasepak Perak, Syamsul Baharin Ahmad Shibi malah menyarankan supaya Ultras Malaya mengadakan program silaturahim bersama peminat bola sepak luar negara termasuk Indonesia sebelum perlawanan bagi meningkatkan persefahaman antara satu sama lain.

Katanya, penyokong Malaysia perlu menunjukkan contoh dan membalas dengan kebaikan walaupun menerima layanan buruk di tempat lawan.

“Pegang kepada prinsip ‘buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali’. Secara tidak langsung cara ini buat mereka malu sendiri dan hormat dengan kita.

“Jika kita balas apa yang mereka lakukan kepada kita, isu ini tidak akan selesai,” katanya dihubungi Arena Metro, semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan kemenangan 3-2 dilakar Harimau Malaya ke atas Indonesia dicemari keganasan penyokong tuan rumah yang dipercayai tidak berpuas hati dengan kekalahan itu.

Kira-kira 400 penyokong negara diserang dengan balingan botol, bom asap dan ditumbuk hingga ada yang cedera.

Di Kelantan, Pengerusi Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Bharu, Mohamed Zainy Mohamed Zain berkata, penyokong bola sepak Malaysia akan menunjukkan contoh penyokong terbaik bukan saja di peringkat Asia Tenggara, malah kepada dunia.

“Kami sangat mengalu-alukan kedatangan mereka ke sini dan akan melayan mereka sebagai tetamu. Cuma kami harap mereka (penyokong Indonesia) yang datang tidak ulangi perbuatan di Indonesia.

“Perkara ini dilakukan oleh segelintir penyokong namun mencemarkan keseluruhan bola sepak negara itu.

“Saya sendiri pernah alami pengalaman sama pada 2010 di sana, namun diselamatkan oleh penyokong Indonesia,” katanya ketika dihubungi.

Di Kuala Terengganu, Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC (TFC), Mohd Isa Che Arifin menasihati peminat negara mengamalkan semangat kesukanan tinggi serta menghormati tetamu biarpun dipalit episod hitam di tempat lawan.

“Sebagai penyokong profesional kami tidak akan buat seperti yang mereka buat kepada penyokong Malaysia di stadium mereka.

“Kita perlu jaga adab sebagai orang Malaysia yang terkenal berpekerti mulia dan bertamadun. Harapan saya peminat setia skuad Garuda tidak takut untuk datang menyokong pasukan mereka kerana sukan adalah medium penyatuan masyarakat,” katanya.

Di Melaka, Pengerusi Kelab Penyokong Demi Melaka United (DMU) Mohamad Odiyas Onan berkata, sebagai kelab penyokong bola sepak, panduan dan undang-undang menjadi keutamaan peminat dan rakyat Malaysia, justeru pastinya layanan baik akan diberikan kepada penyokong skuad Garuda.

“Apa guna kita membuat kecoh dan huru-hara atau membalas dendam. Kesannya akan terpalit kepada diri sendiri, kelab, nama baik dan imej bola sepak serta negara.

“Saya cukup masak dengan penyokong negara terutama Ultras Malaya yang datang ke stadium untuk menyaksikan bola sepak dan menyokong penuh semangat patriotik,” katanya.

Disiarkan pada: September 8, 2019 @ 6:31am
d