utama

Jual anak di WeChat

Oleh Agensi

BEIJING: Seorang bapa di bandar Suqian, China menjual anak perempuannya yang baru dilahirkan kepada pasangan yang baru dikenali di media sosial dengan bayaran £5,700 (RM29,230) kerana tidak mampu membesarkan bayi itu.

Daily Mail memetik Jiangsu Public Channel melaporkan, perbuatan bapa dikenali sebagai Zhao itu dirakam menerusi kamera pengawasan hospital bersalin di timur China ketika dia membawa keluar bayinya yang berusia tiga hari untuk diserahkan kepada keluarga baru yang tinggal sejauh 257.4 kilometer.

Ketika ditahan polis, Zhao memberitahu polis dia dan isterinya tidak mampu membesarkan anaknya itu dengan alasan kekurangan wang.

Menurut laporan, polis dimaklumkan kes jual bayi itu sejak April lalu oleh pelayar web yang melihat iklan ‘jual bayi’ di WeChat.

Hasil siasatan, polis mengenal pasti orang yang memuat naik iklan itu dikenali sebagai Wang, rakan Zhao.

“Suspek melakukan transaksi haram melalui rakan yang membantunya menyiarkan iklan. Ibu bayi itu, orang tengah dan pasangan yang membeli bayi itu, Li serta Gao dari Nanjing ditahan. Bayi itu kini dijaga di pusat kebajikan kerajaan,” kata polis di Changzhou, wilayah Jiangsu.

Menurut polis, pasangan itu memberitahu mereka sudah lama berkahwin tetapi tidak dikurnia anak kerana masalah kesihatan.

“Sebaik melihat iklan itu, mereka bersetuju membeli anak Zhao dan membayar deposit sebelum ke Suqian dan membawa pulang bayi berkenaan,” kata polis.

Pesalah pemerdagangan kanak-kanak boleh dipenjara hingga 10 tahun di China mengikut undang-undang negara itu.

Disiarkan pada: September 8, 2019 @ 7:00am
d