utama

Hanya sejengkal daripada ajal

Oleh Roselan Ab Malek

“HANYA sejengkal daripada kaki dan kalau saya terpijak jerangkap samar dipasang komunis, mungkin saya sudah tiada,” kata Koperal Amirudin Mat Nai, 75.

Bekas anggota tentera dari 24 RAMD, Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur itu menceritakan saat genting ketika bertempur dengan pengganas komunis sekitar 1970-an ketika ditugaskan dalam Op Sungai Ruan di Raub, Pahang.

Menurutnya, pengalaman cemas itu masih segar dalam ingatan dan dianggap mimpi ngeri kerana hampir meragut nyawanya.

“Ketika itu saya ditugaskan menjalankan operasi pembersihan kawasan sekitar hingga Sungai Chalit. Saya nyaris menempah maut apabila diserang hendap komunis manakala kawasan yang kami masuki dipenuhi jerangkap samar,” katanya.

Katanya, ketika dalam perjalanan ke kawasan itu, secara tiba-tiba mereka diserang hendap sekumpulan pengganas komunis yang hanya berada 10 meter daripada mereka.

“Kami segera mencari kawasan perlindungan sambil membalas tembakan. Apabila mendapati tembakan komunis reda, saya cuba bergerak ke hadapan untuk mencari lokasi selamat.

“Ketika itu saya hampir terpijak wayar jerangkap samar membuatkan saya terpaku seketika. Saya terus memberi isyarat kepada rakan supaya tidak bergerak. Hanya wajah isteri dan anak terbayang dalam fikiran,” katanya yang kini menetap di Kampung Lata Gol, Ulu Cheka, Jerantut.

Menurutnya, kejadian berlaku sekitar jam 5 petang selama 30 minit itu memaksa mereka bertahan lebih 12 jam di lokasi terbabit sementara menunggu bantuan keesokan harinya.

“Malam itu, kami berjaga dan hanya makan dua keping biskut untuk mengalas perut,” katanya .

Katanya, bantuan yang tiba jam 7.30 pagi dapat menjejak kedudukan jerangkap samar menggunakan khidmat anjing pengesan sebelum membawa mereka keluar dari lokasi itu.

Menurutnya, ada seorang komunis terbunuh dan berdasarkan kesan tapak kaki, dianggarkan 25 hingga 30 pengganas komunis menyerang mereka.

Bapa tujuh anak itu berkata, meskipun tidak cedera, pengalaman itu cukup meninggalkan kesan dalam hidupnya, lebih-lebih lagi trgedi itu berlaku di Pahang.

Disiarkan pada: September 9, 2019 @ 6:30am
d