utama

Aksi basikal lajak di lebuh raya [METROTV]

Oleh Hasbi Sidek

SEKURANG-kurangnya 10 kanak-kanak dan remaja dirakam melakukan aksi berbahaya menggunakan basikal lajak di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), semalam.

Video berdurasi 50 saat itu dirakam seorang wanita yang menggunakan lebuh raya berkenaan sebelum susur masuk ke Seremban dan Ampangan menyaksikan kanak-kanak berkenaan melakukan aksi Superman.

Menerusi rakaman itu, wanita berkenaan dilihat terpaksa memperlahankan kenderaannya kerana khuatir dengan keselamatan kumpulan itu malah dia beberapa kali beristighfar ketika melintasi beberapa kanak-kanak dan remaja berkenaan.

Rakaman itu dimuat naik di Facebook (FB) dan menerima pelbagai komen yang rata-ratanya mempersoalkan peranan ibu bapa kanak-kanak terbabit seolah tidak mengambil berat keselamatan dan nyawa anak masing-masing.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“JSPT difahamkan kejadian berkenaan berlaku semalam dan pegawai kami sudah ke lokasi untuk mendapatkan maklumat berhubung kejadian. Bagaimanapun kumpulan ini sudah tiada di lokasi.

“Polis kini sedang mengesan geng basikal lajak di sekitar Seremban namun mereka bergerak pada waktu dan lokasi berbeza, jadi ia sedikit sukar. Bagaimanapun, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada pihak kami untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kumpulan berkenaan boleh diambil tindakan termasuk merampas basikal mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala penunggang basikal pula boleh disaman mengikut Peraturan 42(1)(a) LN166/59 Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959.

“Saya menasihatkan remaja dan kanak-kanak supaya tidak menggadaikan nyawa sendiri demi keseronokan sementara. Ibu bapa juga perlu pantau kegiatan anak-anak kerana jika berlaku sesuatu yang tidak diingini kelak, pasti akan menyesal,” katanya.

Disiarkan pada: September 9, 2019 @ 2:44pm
d